Empat teras jadi asas manifesto GRS hadapi PRN Sabah


KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggariskan empat teras utama sebagai asas kepada penyediaan manifesto baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Empat teras itu ialah Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United yang mencerminkan komitmen GRS dalam memperkukuh pembangunan negeri, menjamin kesejahteraan rakyat serta memperkasa tadbir urus yang berintegriti.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata keempat-empat teras ini dipersetujui dalam mesyuarat pertama pasukan khas penyediaan manifesto yang dipengerusikannya sendiri, dengan keanggotaan daripada lapan parti komponen GRS.

Katanya, setiap teras mengandungi kerangka dasar yang merangkumi aspek pembangunan fizikal, kebajikan rakyat, kemampanan ekonomi serta pengukuhan perpaduan dan identiti negeri Sabah.

“Manifesto GRS akan mengandungi dua komponen utama. Pertama, dokumen hala tuju berdasarkan empat teras perjuangan.

“Kedua pula, pembentangan pencapaian kerajaan GRS sepanjang lima tahun dalam bentuk ‘Walk the Talk’ dan ‘Walk in Progress’,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tayangan Komersial Short Film Sabah, di sini, semalam.

Menurutnya, teras Sabah First menekankan keutamaan kepentingan negeri dan rakyat Sabah dalam setiap dasar, manakala Sabah Forward memberi tumpuan kepada perancangan masa depan yang berpaksikan inovasi serta daya saing.

“Teras Sabah Prosper pula memfokuskan kepada pertumbuhan ekonomi menyeluruh yang inklusif dan mampan, manakala Sabah United mengetengahkan kepentingan kestabilan politik serta penyatuan rakyat merentasi pelbagai latar belakang,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata, antara pembaharuan besar yang turut dimuatkan dalam manifesto ialah komitmen GRS untuk mengehadkan tempoh Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal berturut-turut, sebagai usaha memperkukuh amalan demokrasi dan tadbir urus yang sihat.

Katanya, cadangan itu telah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada Disember 2023 dan kini dalam proses penggubalan Rang Undang-Undang (RUU),

“Namun, ia hanya akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas mendapat mandat baharu daripada rakyat.

“Langkah mengehadkan tempoh pentadbiran ini penting bagi menjamin pembaharuan kepimpinan dan mengelakkan penumpuan kuasa secara berpanjangan. GRS percaya ini adalah antara reformasi politik paling progresif di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, GRS terbukti menjadi pelopor reformasi ini apabila lebih awal menyuarakan komitmen terhadap had penggal Ketua Menteri, berbanding cadangan serupa yang hanya dibangkitkan di peringkat Persekutuan baru-baru ini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama