Sabah ambil alih 25% ekuiti bernilai USD3.1 bilion projek ZLNG Petronas

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh kedudukannya dalam industri tenaga apabila bakal memiliki 25 peratus ekuiti dalam projek kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pantai (ZLNG) bernilai USD3.1 bilion di Sipitang.

Perolehan itu dibuat menerusi SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE), susulan termeterainya Perjanjian Utama (Head of Agreement - HOA) antara SMJE dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di Malaysia Petroleum Club (MPC), di sini, hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, penyertaan strategik Sabah dalam projek ZLNG membuktikan komitmen negeri itu untuk menjana pertumbuhan ekonomi jangka panjang dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Kerjasama ini menandakan satu lagi detik penting dalam usaha kita mencapai matlamat pembangunan jangka panjang Sabah, memacu pertumbuhan industri serta menjamin keselamatan tenaga.

“Melalui pelaburan strategik seperti ZLNG, kita dapat memastikan hasil sumber asli negeri memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian berkenaan.

Menurutnya, kemudahan ZLNG dengan kapasiti dua juta tan metrik setahun (MTPA) kini dalam pembinaan dan dijangka beroperasi pada separuh kedua 2027.

“Ia bakal menjadi tambahan penting kepada landskap LNG negara, selain dua lagi kemudahan LNG terapung yang sudah beroperasi di perairan Sabah iaitu PFLNG1 (1.2 MTPA) dan PFLNG2 (1.5 MTPA),” katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri turut mengumumkan hasrat untuk memiliki 40 peratus kepentingan dalam PFLNG1 menerusi SMJE, dengan proses semakan wajar dijangka bermula pada separuh kedua 2025.

SMJE, yang ditubuhkan hasil Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas pada Disember 2021, kini muncul antara pemain utama sektor tenaga di Sabah dengan pemilikan strategik dalam beberapa aset utama.

Antara pegangan terkini SMJE ialah 50 peratus ekuiti dalam aset pengeluaran minyak Samarang PSC, 10 peratus dalam LNG9, 25 peratus dalam kompleks petrokimia SAMUR serta pemilikan penuh terhadap Sabah International Petroleum (SIP) yang mengendalikan aset FPSO dan FSO.

SMJE turut memiliki hak pegangan percuma dan hak 'back-in' dalam blok penerokaan SB409 (20%), SB403 (20%), SB306A (15%) dan SB306B (15%).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMJE, Datuk Dr Dionysia Kibat berkata, pelaburan dalam projek ZLNG adalah selari dengan perancangan strategik syarikat untuk membina portfolio kukuh dan berdaya tahan.

“Kami ialah pelabur kewangan yang berdisiplin dan berhemah. Penyertaan dalam ZLNG membolehkan kami mempelbagaikan pelaburan serta mengukuhkan kedudukan dalam sektor huluan, LNG dan petrokimia.

“Matlamat utama kami ialah menjana aliran tunai stabil jangka panjang daripada aset berkualiti tinggi yang mampu memberi pulangan mampan kepada negeri,” katanya.

Pada masa sama, sektor hiliran Sabah turut berkembang pesat menerusi peranan Sabah Energy Corporation (SEC) sebagai pengagregat dan pengedar gas utama negeri.

Antara projek utama SEC termasuk pembekalan gas kepada loji keluli hijau E-Steel bernilai RM31 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), yang menjadi pemacu kepada agenda kepelbagaian ekonomi negeri.

Majlis ini turut dihadiri  Menteri Kewangan Sabah yang juga Pengerusi SMJ Energy, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Safar Untong; dan Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama