Rokok seludup RM5.05 juta dirampas, gudang penyimpanan diserbu

Foto ihsan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4, Sabah

LABUAN: Taktik licik sindiket penyeludupan rokok yang menjadikan sebuah gudang sebagai stor penyimpanan akhirnya terbongkar selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam satu operasi khas di Kampung Batu Manikar, di sini, semalam.

Dalam serbuan sekitar jam 9.30 pagi itu, lapan lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 51 tahun berjaya ditahan selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti penyeludupan rokok tidak bercukai.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pemeriksaan di premis berkenaan menemukan pelbagai jenis rokok yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

“Hasil serbuan, pasukan PPM berjaya merampas sebanyak 5,320,400 batang rokok tidak bercukai dengan nilai rampasan dianggarkan RM5.05 juta.

“Selain itu, beberapa kenderaan yang digunakan dalam kegiatan tersebut turut disita, menjadikan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM7.01 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nazri berkata, komitmen PPM Sabah dalam membanteras jenayah penyeludupan sentiasa diperkukuhkan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman perairan negara sentiasa terpelihara.

Katanya, sepanjang tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 139 kes rampasan melibatkan jumlah tangkapan seramai 139 individu dengan nilai sitaan keseluruhan sebanyak RM52 juta.

“Antara kes tertinggi direkodkan melibatkan penyeludupan rokok, minuman keras, penyelewengan minyak subsidi serta pelbagai barangan kawalan lain di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya.

Dalam masa sama, katanya, pihaknya turut menumpukan rondaan di kawasan ‘hotspot’ bersempadan negara jiran, khususnya di perairan Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama