237 penyewa di Tanjung Aru ditawarkan rumah PPR

Dr. Joachim (kanan) berbincang dengan ADUN N7. Tandek yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri Sabah (MAFFI), Datuk Hendrus Anding.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) menawarkan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada 237 penyewa yang layak daripada keseluruhan 315 penyewa asal di Rumah Pangsa Tanjung Aru.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, daripada jumlah asal itu, seramai 58 penyewa tidak layak kerana tidak memenuhi syarat Dasar Peruntukan Rumah Kos Rendah disewakan. 

“Manakala, 20 penyewa lain telah memiliki rumah atas nama sendiri,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh *Datuk Junz Wong (Tanjung Aru-WARISAN)* dalam persidangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini. 

Beliau menjelaskan bahawa seramai 113 penyewa daripada 237 yang layak menerima rumah PPR telah diagihkan di beberapa lokasi terpilih di kawasan sekitar Kota Kinabalu. 

“Lokasi yang terpilih seperti di Taman Jaya Diri, Taman Bukit Setia, Taman Puri Warisan, Taman Sri Anak, PPR Kibabaig, Penampang, Gayang 2, Tuaran dan Taman Keramat, Putatan serta Taman Serigai, Putatan,” jelasnya. 

Bagaimanapun, Joachim turut menyatakan bahawa 124 penyewa menolak tawaran rumah PPR kerana lokasi yang ditawarkan dianggap terlalu jauh dari tempat kerja, sekolah anak dan hospital.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa bagi penyewa yang tidak layak atau menolak tawaran tersebut, mereka digalakkan untuk mencari rumah alternatif secara persendirian.

Joachim menjelaskan bahawa sehingga 3 Julai ini, seramai 55 penghuni masih belum berpindah keluar daripada Rumah Pangsa Tanjung Aru 

“Melalui jumlah itu, 30 penerima rumah PPR yang belum berpindah 18 penolak tawaran rumah dan *tujuh* penyewa yang tidak layak ditawarkan rumah,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama