KINABATANGAN: Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sukau, Juslee Arpaih, menegaskan bahawa dakwaan projek Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) di DUN Sukau hanya diberikan kepada penyokong kerajaan adalah tidak berasas.
Sebaliknya, beliau mendedahkan bahawa daripada 40 penerima Rumah SMJ di kawasan itu, seramai 15 individu dikenal pasti sebagai penyokong tegar Barisan Nasional (BN).
“Ini secara jelas membuktikan bahawa agihan Rumah SMJ dibuat secara adil dan menyeluruh tanpa mengira latar belakang politik penerima,” katanya menerusi satu hantaran di facebooknya, hari ini.
Juslee mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mendakwa 23 unit rumah SMJ di DUN Sukau terbengkalai dan hanya diberikan kepada penyokong kerajaan.
Juslee menjelaskan bahawa hasil lawatan tapak yang dijalankan pada Jun lalu menunjukkan 36 unit rumah telah siap sepenuhnya, manakala dua unit sedang dalam proses untuk disiapkan.
“Dua lagi unit telah ditangguhkan oleh Pejabat Daerah atas faktor masalah tapak dan perkara ini boleh dirujuk terus kepada pihak berkenaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya sentiasa komited dalam memastikan pelaksanaan projek kerajaan di kawasan DUN Sukau berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat.
Justeru, beliau menyeru agar sebarang kenyataan yang dibangkitkan mengenai pelaksanaan projek pembangunan dibuat berdasarkan fakta yang sahih bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.