RM8.79 bilion untuk Sabah, PETRA laksanakan 86 projek pembangunan

 

Fadillah (tengah), mengambil gambar kenangan bersama media pada sesi libat urus, semalam.

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memperuntukkan sebanyak RM8.799 bilion bagi pelaksanaan 86 projek pembangunan di Sabah sehingga Jun tahun ini. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata peruntukan itu dilaksanakan secara berfasa sehingga Rolling Plan Kelima (RP5) dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) di bawah peruntukan pembangunan (DE) dan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk memakmurkan Sabah secara inklusif.

Katanya, Sabah menerima peruntukan yang besar dan ini membuktikan komitmen pihaknya untuk memastikan penyediaan kemudahan awam seperti air dan tenaga berjalan lancar. 

“Kalau tidak ada air, tidak ada tenaga, tidak mungkin berlaku pertumbuhan ekonomi. Malah, kesejahteraan rakyat juga tidak dapat dijamin,” katanya ketika berucap dalam Sesi Libat Urus PETRA Bersama Media 2025 (Sabah) bertempat di Hotel Le Meridien, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut, beliau turut mengambil maklum berhubung masalah bekalan air yang melanda Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan akan turun padang sendiri bagi mencari penyelesaian jangka pendek dalam masa terdekat. 

“Inilah komitmen kerajaan Persekutuan untuk bersama-sama Kerajaan negeri Sabah untuk mencari jalan, walaupun kuasa air dan tenaga bukan di bawah peringkat negeri,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Fadillah turut merakamkan penghargaan kepada media di Sabah yang dianggap sebagai rakan strategik PETRA. 

Katanya, media bukan sahaja dalam menyebarkan maklumat pembangunan tetapi juga meyakinkan pelabur dan pelancong terhadap kestabilan serta keselamatan negara.

Menurutnya, peranan media dalam membantu mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama negara, sehingga berjaya menarik kehadiran seramai 3.147 juta pelancong sepanjang tahun 2024 dengan peningkatan ketara berbanding 2.613 juta pelancong pada tahun sebelumnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama