RM260 juta naik taraf tenaga, lebih 60,000 pengguna Sabah-Labuan dapat manfaat

Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) sewaktu sidang media di Majlis Penyerahan Projek Siap PPKBES Tahun 2024 kepada
Kerajaan Sabah di PMU Kota Kinabalu

Kota Kinabalu: Lebih 60,000 pengguna di Sabah dan Labuan bakal menikmati bekalan elektrik lebih stabil dan efisien hasil pelaksanaan tujuh projek tenaga bernilai lebih RM260 juta oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, semua projek dilaksanakan menerusi Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) dengan matlamat memperkukuh ketahanan tenaga di negeri itu.

"Projek ini melibatkan naik taraf pencawang, sambungan talian grid dan sistem pemakauan keselamatan bekalan elektrik dari Tanjung Aru ke Ranau, Batu Sapi hingga Labuan,” katanya ketika meninjau tapak Pencawang Masuk Utama (PMU) Kota Kinabalu, hari ini.

Antara projek utama termasuk PMU 132/33kV Kota Kinabalu, PPU Ranau, PPU Batu Sapi, PMU Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta sistem pengukuhan 11kV Labuan.

Turut dilaksana, pemasangan kabel gentian optik dasar laut sejauh 15 kilometer dari Menumbok ke Tanjung Aru, Labuan selain sistem pemantauan perlindungan atas talian bagi kurangkan gangguan bekalan.

“Semua projek ini bertujuan menjamin bekalan tenaga yang lebih stabil dan mampu tampung pertumbuhan ekonomi negeri serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri PETRA berkata, usaha itu turut membantu kurangkan kebergantungan kepada stesen janakuasa diesel dan mempercepat pembangunan infrastruktur tenaga di Sabah dan Labuan.

Lawatan beliau ke Sabah hari ini turut melibatkan beberapa tapak projek lain termasuk rawatan air, tebatan banjir serta sistem pembentungan.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama