KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan, Persekutuan dan Wilayah (PETRA) menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menyelesaikan masalah gangguan air di asrama pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, isu melibatkan gangguan bekalan air ke tangki aras tinggi di beberapa blok asrama pelajar dikenal pasti sebagai punca utama kesulitan yang dialami oleh pelajar untuk mendapatkan air.
“Kita dimaklumkan bekalan air tidak sampai ke tangki di atas bangunan asrama pelajar. Ini menyebabkan penghuni terjejas teruk, khususnya pada waktu puncak pagi dan petang selama tiga jam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Sempena Skuad PETRA bertempat di Pencawang Masuk Utama (PMU) 132/33kV Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Susulan sesi libat urus itu, beliau berharap tiada lagi masalah bekalan air di UMS selepas projek sambungan terus bekalan air ke tangki asrama siap sepenuhnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak RM260, 747, 713, 39 kos yang diperuntukkan bagi melaksanakan kerja naik taraf pencawang, sambungan talian grid dan sistem pematuhan keselamatan bekalan elektrik di kawasan tertentu di Sabah.
“Hari ini, kita berada di PMU, Kota Kinabalu. Tujuh projek tenaga yang dilaksanakan oleh PETRA merangkumi kawasan Tanjung Aru, Ranau, Batu Sapi dan Labuan,” tambahnya.