RIPPLE lancar pusat Kitar Semula yang baharu

 

KENANGAN...Jannie (empat dari kanan) bergambar kenangan bersama.

KOTA KINABALU:  Persatuan Kitar Semula Sabah (RIPPLE)  melancarkan Pusat Kitar Semula terbaharunya yang dinamakan RIPPLE Circle bersebelahan Dewan Serbaguna Luyang.  

Pengerusi RIPPLE, Michelle De La Harpe berkata pembukaan pusat baharu itu berfungsi sebagai tempat pengumpulan botol kaca dan botol plastik terpakai (HDPE, LDPE dan PP) untuk dikitar semula, sekali gus mengelakkan bahan buangan ini dihantar ke tapak pelupusan.

"Pusat ini beroperasi sepenuhnya secara sukarelawan dan orang awam boleh menghantar botol kaca dan plastik mereka setiap Ahad dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari bermula Ogos 2025. 

Sukarelawan akan mengasingkan, membersihkan dan kemudian melumat atau memecahkan botol-botol tersebut untuk tujuan kitar semula.

"RIPPLE Circle, singkatan kepada (Inisiatif Komuniti untuk Kitar Semula, Pembelajaran Kitaran dan Pendidikan) merupakan sebuah pusat yang bukan sekadar menjalankan aktiviti kitar semula, malah berperanan sebagai ruang kolaboratif yang menyatukan komuniti, alam sekitar dan pendidikan demi mencetuskan impak yang mampan.

"Dengan sokongan APPGM SDG, pusat ini juga berhasrat untuk mewujudkan sebuah Pusat Pembelajaran Komuniti yang akan menjadi hab bagi aktiviti pendidikan, pengurusan sisa isi rumah, kelestarian alam sekitar dan memberi latihan kepada 15 peserta tempatan dengan kemahiran untuk menguruskan inisiatif kitar semula di peringkat komuniti.  

"Selain itu, antara aktiviti utama projek ini termasuk kerja-kerja membaik pulih dan memperluas ruang pembelajaran komuniti, menyediakan tong pengumpulan mudah alih, mewujudkan titik serahan komuniti, serta menganjurkan bengkel berkaitan kitar semula, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan pengasingan sisa," katanya semasa Majlis Pelancaran Pusat Kitar Semula di Dewan Serbaguna Luyang pada Jumaat.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Datuk Jannie Lasimbang.

Menurut Michelle, projek itu membantu mengatasi kekurangan infrastruktur dan kesedaran kitar semula dengan mewujudkan sistem pengumpulan yang terancang, mengurangkan sisa ke tapak pelupusan serta pencemaran  selain menggalakkan tindakan alam sekitar dipacu komuniti.

"RIPPLE akan terus menyokong inisiatif upcycling, mewujudkan rangkaian pasaran dan meneroka integrasi dengan dasar pengurusan sisa pihak berkuasa tempatan bagi memperluas skala impak pada masa depan," ujarnya.

Tambah beliau, sehingga September 2024, RIPPLE melalui projek kitar semula kaca sebanyak 41,284.80 kilogram botol kaca berjaya dikumpul, melibatkan 208,509 unit botol yang dialihkan daripada tapak pelupusan, sekali gus mengurangkan 6,880.80 kilogram pelepasan karbon dioksida. Projek itu turut melibatkan 707 sukarelawan, 1,707 pelawat dan penganjuran 588 bengkel.

Hadir sama, Setiausaha Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Josie Lai dan Penyelia Unit Pembangunan Pemimpin Masyarakat, Liew Tze Bin.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama