59 pelajar cemerlang STPM Putatan terima anugerah pengiktirafan

 


PUTATAN: Seramai 59 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pengajian Malaysia (STPM) 2024 daripada tiga buah sekolah menengah dalam Parlimen Putatan menerima Anugerah Kecemerlangan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian yang mereka perolehi. 

Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmy Yahya berkata, program tersebut bertujuan memberi motivasi serta pengiktirafan kepada pelajar agar terus mengekalkan prestasi cemerlang, bukan sahaja di peringkat pengajian tinggi tetapi juga dalam kerjaya dan kehidupan mereka.

“Kita ingin mereka terus membawa momentum kecemerlangan ini sebagai satu budaya dalam apa sahaja bidang yang diceburi,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Pelajar Cemerlang STPM 2024 Di Sekolah Menengah Di Sekolah-Sekolah Kawasan Parlimen P.173 Putatan bertempat di hotel Pan Borneo, di sini, hari ini. 

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa penyerahan iBoard hari ini diberi kepada enam buah sekolah menengah dalam kawasan Parlimen Putatan sebagai satu usaha memperkukuh pendigitalan pendidikan di peringkat sekolah.

“Dengan adanya iBoard di setiap sekolah, kita ingin memastikan pelajar mempunyai pendedahan awal terhadap proses pembelajaran digital dilaksanakan dengan lebih pantas, jelas dan meluas,” jelasnya. 

Sementara itu, Shahelmy turut menambah bahawa pencapaian cemerlang pelajar hari ini mampu diteruskan dengan kerjasama yang baik daripada pihak sekolah dan para guru. 

“Kita harap prestasi pelajar akan terus meningkat dari tahun ke tahun. Apa yang penting ialah kita melahirkan generasi yang membudayakan kecemerlangan sebagai prinsip hidup,” tambahnya.

Penerima anugerah terdiri daripada pelajar yang memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) antara 3.5 hingga 4.0 dari SMK Putatan, SMK Sanzac dan SM La Salle.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama