![]() |
Arifin semasa ditemui media. |
KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) melalui MUIS Halal Hab akan membantu menyelaras pensijilan halal bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Arifin Mohd Arif berkata, satu perbincangan bersama lebih 25 agensi yang terlibat dengan PMKS telah dibuat bagi menyelaraskan pensijilan halal bagi sektor tersebut.
"Hari ini MUIS Halal Hab menganjurkan program perbincangan meja bulat yang melibatkan lebih 25 agensi dan lebih 50 peserta yang mana perbincangannya merumuskan betapa pentingnya koordinasi iaitu penyelarasan antara agensi-agensi ini dan di bawah penyelarasan MUIS.
"Kita melihat bahawa agensi-agensi berkenan banyak menaja usahawan masing-masing dan langkah baiknya kita selaras di bawah MUIS dari sudut untuk mendapatkan pensijilan, kedua untuk mendapatkan latihan, ketiga untuk memantapkan lagi usahawan-usahawan kita ini khususnya dari sudut kesedaran halal, dan ini antara perkara yang sangat penting.
"Kita juga melihat betapa pentingnya pangkalan data dan ini akan diselaras di bawah kementerian saya, di bawah Jabatan Perkhidmatan Komputer dan kita akan bersama-sama dengan usaha mendigitalkan kerja-kerja mendapatkan kesedaran halal, memberikan latihan halal, termasuk mendapatkan proses, mendapatkan pensijilan halal dan ini akan diselaraskan oleh MUIS Halal Hab.
"Ini tiga perkara yang saya lihat sangat penting pertama koordinasi, kedua usaha untuk memudahkan pensijilan dan ketiga pangkalan data tentang Halal Hab," kata beliau semasa ditemui media selepas merasmikan Majlis Penangguhan dan Penyampaian SIjil Penghargaan Perbincangan Meja Bulat Pensijilan Halal Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Sabah di salah sebuah hotel terkemuka, pada Khamis.
Beliau turut mengingatkan kesedaran mengenai pentingnya pensijilan halal dan proses memperolehinya yang mudah sekiranya para pengusaha tahu caranya yang betul.
"Ini juga perlunya perkara yang pertama saya sebut tadi, itu tentang kesedaran.
"Kedua, tentang bagaimana kita memberi mereka jalan yang mudah untuk mendapatkan pensijilan halal yang sebenarnya mudah tapi kerana kita tidak tahu, maka jadilah urusannya sukar sedikit.
"Dengan adanya persidangan meja bulat yang melibatkan semua agensi ini, yang membimbing, melatih dan mempunyai usahawan masing-masing, saya yakin ini boleh kita selaraskan bersama-sama dalam apa-apa usaha berhubung dengan halal ini di bawah MUIS sesuai dengan enakmen yang ada dengan MUIS sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap hal ini bersama-sama dengan JAKIM dan agensi-agensi yang lain," ujar beliau.
Turut hadir dalam majlis tersebut Pengerusi MUIS Halal Hab Mohamad Sidik Awang Adi, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Baitulmal Sabah Ismail Mohd Adnan.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)