![]() |
Alexander (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Christina (tengah). |
SEMPORNA: Regatta Lepa Semporna yang merupakan pesta tradisional ikonik suku kaum Bajau serta tarikan pelancongan tahunan utama bagi negeri ini telah disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Sabah tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata ia membuktikan masyarakat di negeri ini memberikan komitmen dalam memartabatkan warisan mereka di samping memperkenalkannya kepada pelancong dari seluruh dunia.
“Lebih istimewa, tahun ini merupakan kali ke-30 tahun pesta Regatta Lepa Semporna dianjurkan sekaligus membuktikan keteguhan komitmen masyarakat Semporna dalam memartabatkan warisan budaya mereka.
“Dengan penyenaraian pesta ini dalam kalendar pelancongan, diharapkan acara ini akan mencapai tahap baharu dan mampu menarik lebih ramai pelancong untuk datang dan merasai kemeriahannya,” kata Hajiji dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Christina Liew semasa Majlis Penutupan Regatta Lepa Semporna di Padang Bandaran di sini, pada Ahad malam.
“Menerusi Regatta Lepa, kita dapat memperkenalkan keindahan budaya masyarakat Bajau dan usaha pemeliharaan warisan maritim kepada para pelancong dari seluruh dunia,” ujarnya.
Beliau juga mengucapkan tahniah atas kejayaan penganjuran acara Igalthon yang menyaksikan persembahan tarian tradisional Bajau dikenali sebagai Igal-Igal berlangsung selama satu jam tanpa henti melibatkan penari-penari dari pelbagai kumpulan budaya dan komuniti dan telah dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records sebagai persembahan tarian Igal-Igal terpanjang pada 21 Jun lalu.
“Memartabatkan khazanah budaya dan warisan etnik negeri ini merupakan salah satu elemen utama yang menjadikannya produk pelancongan yang popular ini kerana Sabah merupakan negeri yang kaya dengan pelbagai etnik dan budaya.
“Rakyat Sabah terdiri daripada 35 kumpulan etnik yang masing-masing mempunyai budaya, bahasa dan perayaan tersendiri, namun masih mampu hidup secara harmoni dan bertoleransi antara satu sama lain.
“Ini menjadikan Sabah sebagai salah satu destinasi pelancongan pilihan, sama ada bagi pelancong tempatan mahupun antarabangsa,” tambah beliau.
Turut hadir dalam majlis tersebut Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Datuk Isnin Aliasnih@ Liasnih, Pembantu Menteri Kewangan Datuk tan Lee Fat dan Pegawai Daerah Alexander Liew.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)