![]() |
KENANGAN... Cyril (duduk, dua dari kiri) bergambar bersama finalis Sabahvfm dan sebahagian penggiat seni yang hadir. |
KOTA KINABALU: Anugerah Lagu SABAHVfm 2025 Musim Kedua anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah menawarkan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai RM48,000.
Menurut Timbalan Pengarah Penyiaran Sabah, Ts. Cyril Simon, jumlah tersebut meningkat RM20,500 berbanding RM27,500 yang ditawarkan pada edisi pertama pada tahun 2023.
“Juara Anugerah Lagu SABAHVfm 2025 akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM6,000, manakala pemenang kategori Vokal Terbaik, Persembahan Terbaik, dan Penulis Lirik Terbaik masing-masing akan membawa pulang RM2,000,” katanya pada sidang media program tersebut di sini, pada Isnin.
Jelas beliau, juara bagi kategori etnik Kadazan, Bajau, Murut dan Dusun akan menerima RM4,000 setiap kategori, sementara naib juara akan membawa pulang RM3,000, dan tempat ketiga RM2,000 bagi setiap kategori.
"Anugerah yang berkonsepkan hiburan persembahan pentas ini akan diiringi oleh gabungan pemuzik dari Lorsama Orkestra Angkasapuri dan Kombo RTM Sabah, memberi warna kepada acara yang dinanti-nantikan peminat muzik etnik tempatan.
"Sebanyak 12 lagu terbaik akan dipertandingkan, dipilih dari tempoh Mei 2024 hingga Mei 2025, termasuk tiga lagu terbaik daripada setiap bahasa iaitu Kadazan, Bajau, Murut, dan Dusun. Pemilihan dibuat berdasarkan kualiti rakaman, tempo, serta susunan muzik oleh panel penilai RTM Sabah," ujar beliau.
Kata Cyril, Anugerah Lagu SABAHVfm 2025 akan disiarkan secara langsung menerusi Siaran Murut dan turut boleh ditonton melalui penstriman langsung di aplikasi RTM Klik, Facebook RTM Sabah, dan SABAHVfm.
Selain itu, ia juga akan disiarkan serentak di empat stesen radio iaitu SABAHVfm,TAWAUfm, SANDAKANfm, dan KENINGAUfm.
Antara finalis yang bakal bersaing merebut gelaran juara termasuk Lyron Felix, Presley Petrus, serta Elden Isos & Esther D. Kimsrong (Kategori Kadazan); Rozainie Rozali, Tantiana Tukiman dan Mohammad Hud Lufti Jamail (Bajau); Syamson Tingkalur & Afiezal Fahmi Inggu, Anjee Afirra Laijih, dan Sitipah Jahamin (Murut); serta Wirona Malun, Norzizi Safira Iddy, dan James Sami (Dusun).
Majlis yang bakal berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan itu akan dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor sebagai tetamu kehormat.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Pengurus SabahVfm Ruskap Muharam, Ketua Penolong Pengarah Rancangan Radio Aritika Mabni @ Matbee dan Pengurus Besar Hotel Ming Garden Wei Gang.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)