Rating PM Anwar tinggi di Sabah – Mustapha

Mustapha, ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan sendiri surat tawaran kemasukan IPT kepada bakal mahasiswa Sabah Kg. Warisan Inanam, hari ini.
 

KOTA KINABALU: Sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kekal kukuh khususnya di Sabah apabila beliau terus mendapat kepercayaan daripada akar umbi, termasuk dalam kalangan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, berkata sambutan terhadap siri jelajah Presiden PKR di seluruh negara menunjukkan rakyat masih menyokong penuh kepimpinan Anwar, termasuk di negeri ini.

Katanya, ‘rating’ Perdana Menteri di Sabah sangat tinggi, malah sambutan ahli-ahli parti juga memberangsangkan dan saya yakin bahawa sokongan terhadap beliau masih kuat. 

“Mungkin semasa pemilihan parti dahulu ada sedikit ketidakpuasan, tetapi sekarang kita lihat semua kembali fokus kepada perjuangan parti, bukan individu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan Surat Tawaran Kemasukan Institut Pengajian Tinggi (IPT) kepada bakal mahasiswa Sabah di  Kg. Warisan Inanam di sini, hari ini. 

Menurutnya, apa yang penting kini ialah hala tuju parti secara keseluruhan dan bagaimana gabungan Pakatan Harapan (PH) boleh terus memperkukuh peranan dalam membela nasib rakyat, terutama di Sabah.

“PKR, bersama rakan-rakan dalam PH seperti UPKO, DAP dan AMANAH, sedang giat menyediakan manifesto bersama. 

“Antara perkara utama yang menjadi tumpuan ialah isu yang dekat di hati rakyat Sabah seperti pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), agihan jawatan penting dalam kerajaan negeri serta penyelarasan pembangunan yang adil,” katanya.

Mustapha turut menegaskan bahawa sebarang bentuk ketidakpuasan dalam kalangan penyokong perlu ditangani dengan pendekatan yang bijak, berpandukan prinsip keadilan dan kesaksamaan.

“Kita akan tetapkan satu garis panduan yang jelas dalam soal pengagihan kuasa termasuklah jawatan dalam GLC, kampung, mahupun jawatan politik.

“Kita mahukan jawatan-jawatan itu nanti semuanya perlu diagihkan secara adil berdasarkan kekuatan dan sumbangan parti masing-masing,” katanya.

Mengulas mengenai kajian semasa berhubung prestasi PH dan PKR, Mustapha berkata satu pemeriksaan pendapatan dijadualkan bulan ini, dan laporan tersebut akan menjadi indikator penting dalam membuat penilaian lanjut.

“Kita tunggu hasil kajian itu. Selepas itu, barulah kita boleh keluarkan komen yang lebih spesifik berdasarkan data yang ada,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama