Akta CCUS 2025 bukti kerajaan Sabah, Sarawak perlu diterajui parti tempatan - Armizan


TENOM: Penggubalan Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 yang hanya dilaksanakan di Semenanjung Malaysia dan Labuan menjadi contoh pentingnya sesebuah parti tempatan menjadi teras kerajaan negeri.

Timbalan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata teras kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu datang daripada parti yang berbeza.

Katanya, ini untuk memastikan hubungan di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah berbentuk antara kerajaan (inter-governmental) dan bukannya intra parti (intra-party).

Mengulas lanjut, katanya pada peringkat awal, perancangan pemakaian RUU terbabit adalah untuk seluruh Malaysia.

"Namun, Kabinet Persekutuan bersetuju supaya RUU tersebut dipinda kepada pemakaian hanya untuk Semenanjung Malaysia dan Labuan setelah mendengar pandangan kerajaan negeri Sabah yang diterajui GRS dan Sarawak yang diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Perkara ini juga berlaku disebabkan Kerajaan Persekutuan diketuai oleh seorang Perdana Menteri yang amat komited berpegang kepada pengiktirafan kedudukan khas Sabah dan Sarawak sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam.Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) DUN Melalap, di sini, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata pihaknya tidak menolak parti nasional namun pada masa sama, penting untuk memastikan teras kepada kerajaan negeri adalah parti tempatan.

Katanya, ini untuk memastikan agenda yang melibatkan kepentingan negeri tersebut akan sentiasa dibincangkan dalam struktur antara dua peringkat kerajaan dan tidak dirundingkan dalam struktur dalaman parti terlebih dahulu.

"Penggubalan Akta CCUS 2025 berbeza dengan penggubalan Akta Laut Wilayah 2012. Hari ini ada pemimpin dan parti tertentu yang tiba-tiba lantang berbicara tentang hak negeri termasuk mempertikaikan Akta Laut Wilayah (TSA) 2012 sebagai modal politik.

"Akta ini membataskan kuasa negeri kepada perairan hanya tiga batu nautika sahaja dan kerajaan negeri Sabah pimpinan GRS terus menegaskan bahawa ia tidak terpakai kepada Sabah kerana tidak diluluskan oleh DUN Sabah.

Ada kalangan yang mempertikai ini merupakan Ahli Parlimen dan ada yang berstatus Menteri Persekutuan pada tahun 2012. Saya fikir mereka perlu jelaskan kenapa hanya bangkitkan hari ini.

"Mengapa mereka tidak mempertikaikan apabila RUU Laut Wilayah dibentangkan dalam Jemaah Menteri dan di Parlimen pada tahun 2012 sehingga ia lulus sebagai Akta Parlimen. Ini adalah 'rekod' parti dan 'pemimpin' yang tidak boleh dipadamkan dari sejarah," katanya.

Katanya lagi, beliau melihat terdapat dua faktor semua perkara terbabit berlaku.

"Pertama, perbezaan teras kedua-dua peringkat Kerajaan di antara tahun 2012 dan 2025. Tahun 2012 kedua-dua peringkat kerajaan bukan sahaja diterajui, malah didominasi oleh sebuah parti nasional yang sama.

"Berbeza pada tahun 2025 teras kerajaan negeri adalah parti tempatan dan teras kepada Kerajaan Persekutuan adalah parti nasional.

"Kedua, hampir keseluruhan Ahli Parlimen Sabah pada tahun 2012 berada dalam parti atau gabungan parti nasional, maka mereka terikat dengan keputusan gabungan parti nasional yang menentukan pendirian pengundian di parlimen," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama