PRN17: Mesyuarat PH tumpu tiga perkara utama

Saifuddin ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Kampung Angkat Madani Kementerian Dalam Negeri bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan Abai - ihsan Jabatan Penerangan Sabah.

KOTA BELUD: Mesyuarat Pakatan Harapan (PH) Sabah yang berlangsung, semalam menumpukan tiga perkara utama mengenai persiapan menyeluruh dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal menjelang tiba.

Memperincikan mengenai perkara itu, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail antara tiga perkara terbabit adalah merangkumi persiapan PRN, pembentukan jentera pilihan raya dan juga pembinaan manifesto PH.

"Semalam saya turut mempengerusikan mesyuarat PH Sabah bersama Datuk Ewon Benedick (Pengerusi PH Sabah) dan perbincangan kami tertumpu pada tiga perkara.

"Persiapan itu terbahagi kepada tiga. Pertama, kita bersetuju bahawa kita kena ada satu garis masa dimana parti-parti dalam PH kena menyelesaikan soal perundingan kerusi.

"Kedua, kita juga bersetuju bahawa kita akan tumpukan fokus Kepada pembentukan jentera pilihanraya yang kuat dan mantap. Pembentukannya mesti berlaku sekarang. Kalau sudah bubar Dewan Undangan Negeri (DUN), tidak sempat lagi mahu bina jentera.

"Ketiga adalah pembinaan manifesto PH. Jadi tiga perkara itu kita bincang semalam dan saya sangat berpuas hati dengan kemajuan perundingan yang dicapai," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Kampung Angkat Madani Kementerian Dalam Negeri bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan Abai, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin turut berkata selain memastikan tiga perkara terbabit diselesaikan dalam garis masa yang ditetapkan, beliau juga akan turun ke negeri ini lebih kerap bagi memastikan semua keputusan dalam mesyuarat PH dilaksanakan.

Antara yang hadir dalam mesyuarat semalam ialah Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad, Pengerusi PH Sabah Datuk Ewon Benedick yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud, Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe dan Pengerusi Amanah Sabah Datuk Lahirul Latigu.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama