
KUALA LUMPUR: Cadangan untuk pembangunan bersama (Joint Development - JD) antara Malaysia dan Indonesia di kawasan Laut Sulawesi yang melibatkan Blok ND6 dan ND7 masih belum dimuktamadkan.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Haji Alamin, berkata bahawa meskipun potensi ekonomi kedua-dua blok yang terletak dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia itu amat signifikan.
Katanya, pelaksanaan pembangunan bersama hanya akan dilaksanakan selepas semua proses rundingan dipenuhi termasuk mendapatkan persetujuan Kerajaan Wilayah Sabah.
“Blok ND6 dan ND7, yang dirujuk oleh Indonesia sebagai Ambalat, masih tertakluk kepada pertikaian persempadanan maritim antara kedua-dua negara.
"Oleh itu, sebarang usaha penerokaan sumber seperti minyak dan gas belum dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, persempadanan maritim di Laut Sulawesi masih belum dimuktamadkan sepenuhnya meskipun Triti Sulawesi 2023 yang ditandatangani pada 8 Jun tahun lalu telah menetapkan sempadan di sebahagian perairan wilayah di pantai timur Sabah.
Bagaimanapun, katanya, triti tersebut tidak meliputi kawasan ND6 dan ND7 yang terletak di luar kawasan laut wilayah dan berada dalam lingkungan 200 batu nautika ZEE Malaysia.
Beliau berkata, dakwaan bahawa kerajaan telah menyerahkan hak atau kedaulatan wilayah Sabah kepada Indonesia adalah tidak berasas dan telah diperjelaskan berulang kali termasuk dalam Parlimen, Dewan Undangan Negeri Sabah serta menerusi sidang media.
“Proses memuktamadkan sempadan maritim ini memakan masa dan dikendalikan oleh Jawatankuasa Teknikal yang diterajui Kementerian Luar Negeri bersama pelbagai agensi termasuk Kerajaan Negeri Sabah, Majlis Keselamatan Negara (Sabah), Jabatan Pemetaan Malaysia serta Jabatan Tanah dan Ukur Sabah,” katanya.
Katanya, cadangan pembangunan bersama di Laut Sulawesi bukanlah perkara baharu dan pernah dibangkitkan oleh Perdana Menteri pada 2022, yang ketika itu meminta Petronas mempertimbangkan kajian mengenainya.
"Dalam lawatan kerja Perdana Menteri ke Jakarta pada 27 Jun lalu, perkara ini turut dibincangkan tetapi tiada keputusan muktamad dicapai.
“Perdana Menteri sendiri menegaskan bahawa kepentingan wilayah Sabah mesti diambil kira dan dilihat secara adil,” katanya.
Dalam hal ini katanya, mekanisme rundingan sedia ada termasuk melalui Majlis Tindakan Perlaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 akan terus digunakan.
"Majlis ini akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri bersama Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.
“Kerajaan Malaysia tetap komited untuk mencari kesepakatan menerusi rundingan dan mekanisme diplomatik sedia ada serta memastikan kedaulatan dan kepentingan negara, khususnya Sabah, sentiasa dipertahankan,” katanya.