PRN17: Bukan Bung, tapi Salleh wakil BN Sabah rundingan BN-PH

 

KOTA KINABALU: Rundingan jalinan kerjasama di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) tidak melibatkan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin berkata sebaliknya wakil BN yang hadir dalam rundingan bersama pihaknya adalah Datuk Seri Salleh Said Keruak.

"Bukan dengan Datuk Seri Bung Moktar tetapi orang lain. Setahu saya, salah seorang wakil dari Sabah yang terlibat ialah Datuk Seri Salleh Said Keruak.

"Semua parti mempunyai struktur tersendiri apabila datang ke rundingan itu. Biasanya, ketua (pengerusi parti) tidak perlu hadiri rundingan. 

"Saya hanya boleh cakap saya tidak pernah nampak dia (Bung Moktar hadir rundingan bersama PH). Tapi saya tidak begitu yakin kerana kadang-kadang (wakil yang hadiri rundingan) bertukar-tukar.

"Kemungkinan ketika (Bung Moktar) ada masa, saya pula tidak ada masa (hadiri rundingan). Biasanya, DAP akan diwakili Phoong Jin Zhe (Pengerusi DAP Sabah). Kalau beliau tidak ada masa, baru saya akan hadir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di bilik media Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau ketika diminta mengulas berkenaan rundingan agihan kerusi dalam PH Sabah, Foong Hin menjelaskan perbincangan masih berjalan namun belum ada sebarang keputusan dimuktamadkan.

"PH memang ada (laksana) beberapa sesi rundingan bersama parti-parti yang minat untuk bersama (menjalin kerjasama). Jadi, semua ini belum dimuktmadkan," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama