PGA rampas rokok seludup, ayam sabung RM12.3 juta

Foto ihsan PGA

KOTA KINABALU: Tindakan pantas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah berjaya menggagalkan aktiviti penyeludupan rokok serta penternakan ayam sabung haram dalam beberapa serbuan berasingan di Tuaran, Beluran, Sandakan dan Tawau, baru-baru ini.

Dalam operasi khas antara 25 hingga 29 Julai lalu, sembilan serbuan dilaksanakan menerusi kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pihak berkuasa tempatan.

Hasilnya, tujuh individu termasuk dua warga Indonesia dan seorang warga Filipina ditahan, manakala barang rampasan termasuk rokok seludup dan ayam sabung dianggarkan bernilai RM12.3 juta.

Menurut Komander PGA Briged Sabah, SAC Datuk Abdul Rani Alias, serbuan pertama pada 25 Julai menyaksikan penahanan seorang lelaki tempatan serta rampasan 3.1 juta batang rokok putih yang dianggarkan bernilai RM5.27 juta, dipercayai untuk pasaran tempatan.

Turut dirampas sebuah lori treler yang digunakan untuk mengangkut rokok berkenaan dengan nilai kira-kira RM300,000.

"Rampasan seterusnya melibatkan 1,637 ekor ayam sabung dipercayai baka Filipina yang dipelihara tanpa permit sah.

"Rampasan membabitkan nilai lebih RM6.6 juta, selain ubat-ubatan dan peralatan bernilai RM163,000," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada jabatan berkaitan termasuk IPD Sandakan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk siasatan lanjut mengikut pelbagai akta dan enakmen sedia ada.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah bukti komitmen berterusan PGA Briged Sabah dalam membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan di negeri ini.

“Polis menggesa orang awam untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa serta segera menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan yang berlaku di kawasan masing-masing,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan permit sah daripada Jabatan Veterinar sebelum menjalankan aktiviti penternakan ayam bagi mengelak sebarang tindakan undang-undang.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama