![]() |
Ng Vui Ken, 34, dihukum penjara sembilan bulan dan denda RM10,500 oleh Mahkamah Majistret Tawau hari ini, atas kesalahan memandu dibawah pengaruh alkohol, Mac lalu. Foto | SS. |
TAWAU: Akibat memandu dalam keadaan mabuk hingga melanggar sebuah kenderaan ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya, seorang mekanik dihukum penjara sembilan bulan dan denda RM10,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Ng Vui Ken, 34, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.
Bagi kesalahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000, atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Ng turut didenda RM500 atau penjara sebulan bagi kesalahan mengikut Seksyen 79(1) akta sama kerana gagal mematuhi arahan berhenti yang dikeluarkan oleh pegawai polis semasa sekatan jalan raya.
Tertuduh bagaimanapun gagal membayar kedua-dua denda itu dan diarahkan menjalani hukuman penjara keseluruhan tempoh sembilan bulan.
Kesalahan tersebut dilakukan kira-kira jam 11.30 malam pada 23 Mac lalu di Jalan Chong Thien Vun, di sini.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, dalam rayuannya memohon hukuman diringankan atas alasan telah insaf dan menyesali perbuatannya.
“Yang Arif, saya mohon agar hukuman diringankan dan saya bertanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan yang saya lakukan sebagai satu pengajaran,” katanya.
Namun, Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Joan Lee dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau memohon hukuman setimpal dijatuhkan sebagai peringatan kepada masyarakat.
Beliau berkata, kandungan alkohol dalam badan tertuduh ketika ditahan adalah lima kali ganda melebihi had yang dibenarkan, selain bertindak melarikan diri daripada sekatan jalan raya.
“Tindakan tertuduh yang memandu secara melulu hingga melanggar sebuah kenderaan awam sebelum mencetuskan insiden kejar-mengejar dengan polis jelas membahayakan keselamatan pengguna jalan raya dan pihak berkuasa,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung selama dua tahun bermula dari tarikh sabitan.