GRS kerjasama PH hasil kata sepakat, bukan keputusan individu - Hajiji

 

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa keputusan pihaknya untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) merupakan keputusan yang disepakati secara sebulat suara, bukannya diputuskan oleh individu.

Katanya, dakwaan yang menyatakan bahawa keputusan itu dibuat secara peribadi adalah tidak benar kerana ia merupakan hasil muafakat bersama semua presiden parti komponen dalam gabungan politik terbabit.

“Tidak, kami sudah berbincang dengan GRS dan semua presiden setiap parti,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Dengan Petro Trading Labuan Company LTD bertempat di The Pacific Sutera Hotel, di sini, hari ini. 

Pada majlis yang sama, turut diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara DBKK dan Alpha Ocean Resources Berhad.

Di samping itu, beliau memaklumkan bahawa lawatannya ke Indonesia baru-baru ini bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg merupakan langkah positif yang diyakini mampu membawa perkembangan baik kepada Sabah.

Menurut Hajiji, perbincangan itu sedang diperhalusi dengan beberapa perkara penting yang diyakini akan memberi manfaat besar kepada negeri. 

“Mesyuarat itu amat positif sekali. Sekarang sedang diperhalusi lagi perkara-perkara yang berkaitan,” tambahnya.

Sementara itu, beliau turut ditanya pemberita mengenai perkembangan isu Ambalat namun Hajiji menjelaskan belum ada sebarang perbincangan dibuat.

"Itu belum lagi. Itu dibincang berdasarkan undang-undang antarabangsa. Jadi, belum ada apa-apa," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama