Dalam Operasi Bersepadu Op Taring Chiller yang dijalankan pada 15 Julai itu dijalankan serentak dari jam 9 pagi hingga 8 malam melibatkan 10 daerah iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Sandakan, Tawau, Kunak, Semporna, Lahad Datu, Telupid dan Keningau.
Operasi berkenaan bertujuan membanteras aktiviti penyimpanan dan penjualan makanan sejuk beku tanpa permit, selain mengesan pelanggaran peraturan berkaitan pengurusan makanan.
Menurut Komander Briged PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias , operasi disertai 275 pegawai dan anggota daripada PGA, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pertanian.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 22 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20 hingga 60 tahun, termasuk warga tempatan, Filipina, Indonesia dan China.
"Rampasan melibatkan makanan sejuk beku seperti ayam, daging, hasil laut, bebola, kentang goreng serta peralatan seperti peti sejuk beku, mesin pemotong, lori bonded dan kontena.
"Daripada 19 premis diserbu, 15 didapati melanggar peraturan, tiga bebas kesalahan dan satu lagi tidak beroperasi," katanya.
Antara kesalahan dikesan termasuk tiada lesen perniagaan, pelanggaran Enakmen Haiwan 2015, Akta Makanan 1983, Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta Akta Kawalan Bekalan 1961.
Rani berkata, operasi ini menjadi peringatan kepada semua pengusaha agar mematuhi peraturan yang ditetapkan demi menjamin keselamatan makanan dan kepentingan pengguna.
"Kesemua tangkapan dan rampasan, katanya, telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut undang-undang," ujarnya lagi.