Persijilan halal beri nilai tambah kepada perusahaan PMKS - Ewon

Ewon melawat salah sebuah reruai sempena Halal Success Program di Kolej Komuniti Sandakan - ihsan KUSKOP.

SANDAKAN: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menggesa golongan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk mendapatkan persijilan halal ke atas produk dan perkhidmatan masing-masing.

Katanya, persijilan halal mampu memberi nilai tambah kepada perusahaan PMKS terutama bagi menembusi pasaran domestik dan antarabangsa.

“Usahawan-usahawan yang memiliki sijil halal ke atas produk atau perkhidmatan mereka mempunyai kelebihan dalam pasaran. Ini termasuk pasaran antarabangsa kerana sijil halal yang dikeluarkan di Malaysia diiktiraf oleh pasaran antarabangsa.

“Malah, KUSKOP bersama-sama dengan agensi-agensi seperti PERNAS, SME Corp dan SME Bank juga membawa usahawan-usahawan tempatan ke ekspo antarabangsa dengan kelebihan kepada mereka yang memiliki persijilan halal,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam perasmian Halal Success Program anjuran KUSKOP dan PERNAS, di Kolej Komuniti Sandakan, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ewon turut menyatakan pihaknya juga menyediakan geran pembangunan usahawan industri halal.

“Halal Success Program yang dilaksanakan di seluruh negara bertujuan memperkasa kesedaran persijilan halal serta pembangunan produk dan perkhidmatan usahawan-usahawan yang disijil-halalkan. 

“Saya berharap usahawan-usahawan Sabah tidak ketinggalan daripada mendapat manfaat melalui program ini,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama