![]() |
Kenderaan dinaiki dua suspek disyaki memiliki dadah yang bertindak nekad merempuh kereta polis dan beberapa buah kenderaan awam berjaya ditahan selepas dikepung di lokasi kejadian. Foto | Ihsan PDRM. |
TAWAU: Ibarat adegan filem aski, tindakan nekad dua lelaki merempuh kenderaan polis dalam cubaan meloloskan diri gagal apabila ditahan di simpang lampu isyarat Batu 3, Jalan Apas, di sini, semalam.
Kejadian mencemaskan kira-kira jam 1.45 petang itu sempat dirakam orang awam dan tular di media sosial memaparkan bagaimana suspek memandu secara melulu tanpa menghiraukan nyawa sesiapa, termasuk pengguna jalan raya lain.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian bermula apabila sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Tawau menjalankan operasi khas Op Tapis dan mengesan sebuah Toyota Hilux mencurigakan di kawasan perindustrian Batu 3.
“Pasukan cuba menghalang kenderaan terbabit namun suspek bertindak agresif merempuh kenderaan polis dan beberapa kereta awam sebelum melarikan diri ke arah Jalan Apas.
“Kenderaan terbabit memecut dengan laju namun berjaya dipintas dan ditahan selepas kenderaan mereka dikepung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan menemukan sebuah beg kain disorok di bawah brek tangan berisi dua paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih dipercayai syabu seberat 5.13 gram, dianggarkan bernilai RM400.
Katanya kedua-dua suspek masing-masing seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dan remaja warga asing berusia 18 tahun turut didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Usaha sedang diteruskan bagi mengesan rakan suspek yang dipercayai masih bebas. Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.