Kolaborasi LKM, JAPEN bantu promosi industri koko

Ramle (kanan) menunjukkan antara produk-produk yang dihasilkan dari koko.

KOTA KINABALU:   Kolaborasi antara Lembaga Koko Malaysia dan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Negeri Sabah dapat membantu mempromosikan lagi industri koko Sabah.

Menurut Ketua Pengarah LKM Datuk Dr. Ramle Kasin berkata kolaborasi tersebut juga merupakan penghargaan kepada pihaknya untuk terlibat dalam menggelorakan Bulan Kebangsaan menerusi program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) pada tahun ini.

“Bagi pihak LKM saya berterima kasih kepada pihak JaPen Sabah mengundang kami untuk turut sama secara langsung dalam salah satu program kemerdekaan.

“Dalam perbincangan tadi pun saya dapat melihat terdapat ruang dan peluang di mana pihak LKM dapat mempromosikan lagi industri koko kepada orang ramai yang berminat menceburi bidang ini.

“Di samping kita menyemarakkan bulan kebangsaan, kita juga dapat membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat,” katanya kepada media selepas menerima kunjungan hormat dari Pengarah JAPEN Sabah, Jainisah Mohd Noor di Ibu Pejabat LKM.

Menurut beliau, pada masa ini pelbagai inisiatif-inisiatif yang sudah dilaksanakan bagi membantu para petani serta pengusaha-pengusaha koko.

“Seperti di Sabah, beberapa program telah dilaksanakan antaranya galakan tanaman koko, pemulihan tanaman koko dan juga ada program kepada usahawan coklat buatan tangan.

“LKM juga mengajak agar lagi ramai belia-belia di luar sana untuk menceburi dalam industri koko ini dengan mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan bagi menjadikan mereka menjadi usahawan yang baik," ujar beliau.

KMJG merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh JAPEN yang akan mengembara ke seluruh negeri Sabah dalam menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dan kibar bendera ke setiap kawasan yang dikunjungi.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama