![]() |
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun (dua dari kanan) menunjukkan antara rampasan dadah dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. |
Kota Kinabalu: Taktik seorang lelaki muda menyewa dua unit kondominium mewah di bandar ini untuk dijadikan stor simpanan dan lokasi pengedaran dadah akhirnya tumpas selepas diserbu polis.
Dalam serbuan di dua kondominium di Jalan Haji Saman dan Jesselton, polis menemui pelbagai jenis dadah termasuk syabu, ketamin dan pil ekstasi yang disasarkan untuk pasaran tempatan serta luar negara.
Ketua Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, suspek berusia 23 tahun itu ditahan dalam serbuan pertama di sebuah unit kondominium pada 4 Julai lalu, kira-kira jam 7.45 malam.
"Pemeriksaan menemui syabu seberat 790.56 gram, selain mesin kira wang, alat penimbang digital dan peralatan membungkus dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Beliau berkata, suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak beberapa bulan lalu dengan menjadikan kondominium mewah sebagai lokasi penyimpanan dadah.
"Polis menemui dadah jenis ketamin seberat 14.14 gram di unit itu sebelum suspek membawa polis ke sebuah kereta Toyota Yaris yang diletakkan berhampiran Sabah Art Gallery Outdoor Artspace.
"Pemeriksaan lanjut menemukan 12.7 kilogram syabu, 6.9 kilogram ketamin, 25 peket jus ekstasi dan 10 biji pil ekstasi yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM960,000," katanya.
Jauteh berkata, polis turut menyita dua kenderaan mewah jenis Toyota Hilux, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM1.2 juta.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan laluan udara untuk membawa masuk dadah ke negeri ini sebelum diseludup ke negara jiran.
“Bekalan dadah yang dirampas mampu menampung lebih 100,000 kali kegunaan penagih," katanya.
Beliau berkata, saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, namun tiada rekod jenayah lampau.
Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.