PBS belum namakan mana-mana individu jadi calon PRN Sabah

 

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan bahawa parti itu belum mengesahkan mana-mana individu sebagai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki berkata, sebarang kenyataan yang mendakwa PBS telah menamakan atau menyokong individu tertentu sebagai calon adalah tidak benar dan tidak mewakili pendirian rasmi parti.

Katanya, proses mengenal pasti dan memuktamadkan calon masih berjalan dan akan diputuskan secara kolektif oleh kepimpinan tertinggi parti. 

"Sebarang pengumuman rasmi mengenai pencalonan hanya akan dibuat melalui saluran yang sah, iaitu oleh Pemangku Presiden, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.

“Kenyataan yang dibuat tanpa kuasa ini adalah mengelirukan dan tidak sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. 

Beliau turut menyeru semua bahagian dan cawangan PBS agar terus fokus terhadap persiapan menghadapi pilihan raya, termasuk mengukuhkan jentera parti di peringkat akar umbi.

Dalam pada itu, Julita turut menyatakan sokongan PBS terhadap kenyataan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bahawa GRS akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRN akan datang.

“Ini berdasarkan persetujuan bersama bahawa GRS akan menjadi rakan dominan seperti yang telah dipersetujui dalam mesyuarat antara Pengerusi GRS dan para Presiden parti komponen, termasuk Pemangku Presiden PBS,” katanya.

Mengulas ketiadaan Pemangku Presiden PBS dalam majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) baru-baru ini, Julita menjelaskan bahawa beliau berada di Beaufort bagi merasmikan pembukaan serentak Mesyuarat Agung Tahunan lima bahagian PBS.

“PBS telah diwakili oleh pemimpin kanan termasuk Timbalan-Timbalan Presiden, Datuk Seri Panglima Jahid Jahim dan Datuk Seri Panglima Dr Yee Moh Chai serta saya sendiri," katanya


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama