KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan isterinya dalam insiden tragik melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, baru-baru ini.
Menurutnya, tuduhan yang dilemparkan oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota ketika sesi perbahasan itu adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim.
"Isteri saya, Cikgu Rosnih Nasir, sudah bersara pada 22 November 2024.
Tragedi Zara berlaku pada Julai 2025, iaitu lapan bulan selepas beliau tidak lagi berkhidmat dalam sektor pendidikan," katanya.
Mustapha berkata, isterinya sebelum ini hanya bertugas sebagai Pengetua SMKA Tun Datu Mustapha di Limauan, Papar, dan langsung tidak terlibat dalam pentadbiran atau pengurusan sekolah selepas persaraannya.
"Cubaan mengaitkan beliau adalah fitnah serta manipulasi politik yang tidak bertanggungjawab. Ia juga mencemarkan reputasi seorang penjawat awam yang telah bersara dengan baik," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, turut menggesa semua pihak menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tidak mengeksploitasi tragedi ini sebagai modal politik.
“Hormatilah proses siasatan oleh Polis Diraja Malaysia dan jangan cetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat dengan naratif yang tidak sahih,” Katanya lagi.
Mustapha turut merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina dan mendoakan mereka diberikan kekuatan menghadapi ujian tersebut.
Katanya, keadilan wajar ditegakkan menerusi saluran sah, tanpa gangguan politik yang hanya menambah luka keluarga mangsa.