PARAHAT platform lestarikan seni Islam masyarakat, generasi muda

 

Arifin (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Juara 1 Kategori ASEAN (Khat Moden).

MEMBAKUT:    Penubuhan Himpunan Para Penulis dan Penggiat Khat Nusantara (PARAHAT) merupakan satu platform yang baik bagi melestari seni Islam dalam kalangan masyarakat dan generasi muda.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata sekretariat akan membantu jaringan kerjasama para khattat dan penggiat seni khat untuk mengadakan pertemuan dan aktiviti dalam membangun secara bersama seni khat di rantau ini amnya dan di Sabah khasnya.

"Untuk menambah baik program ini dengan menjadikannya bukan sahaja Maharajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara tetapi Maharajan dan Persuratan Islam Peringkat Antarabangsa, kita akan minta nasihat Prof. Datuk Seri Emeritus Dr. Awang Sarian yang juga menjadi tokoh Maharajan kita pada tahun ini. 

"Kita juga akan mewujudkan setelah saya lancarkan tadi Sekretariat Khad untuk nusantara yang mana Sabah akan menjadi sekretariatnya untuk menganjur, menyelaras, membimbing dan menambah baik usaha-usaha memperkasa khat atau kaligrafi Islam di peringkat nusantara malah peringkat dunia," jelas beliau.

Arifin memaklumkan, atas nasihat Tokoh Mahrajan juga penganjuran festival tersebut bakal diluaskan ke peringkat antarabangsa dengan melibatkan beberapa tokoh terkenal antaranya  dari Turki, Mesir, Qatar dan sebagainya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penangguhan program Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Islam Nusantara Sabah, Malaysia Kali ke-13 Tahun 2025 di sini, pada Sabtu.

Mengenai penganjuran kali ini, beliau yang juga Exco Agama dan Pendidikan Sabah turut mendedahkan terdapat penambahan program antaranya pertandingan pantun spontan, di samping dialog persuratan dan beberapa sentuhan program oleh tokoh-tokoh, penyair, sasterawan, budayawan dari Indonesia, Brunei Darussalam, Thailand dan tokoh khat terbaik dunia dari Qatar.

"Ini satu perkembangan yang sangat baik dan apabila kita rujuk kepada bidang seni pula kita seni khat, mendapat tempat pada Maharajan kali ini apabila kita mengundang seorang tokoh khat terbaik dunia daripada Qatar. 

"Tahun lepas kita undang daripada Turki dan memang mereka ini antara tokoh khat yang terbaik dunia yang mana memberikan bimbingan kepada para pencinta dan penggerak khat di Nusantara ini.

"Bukan saja di Malaysia malah peminat-peminat, penggerak dan pencinta khat dari Brunei, Thailand, Indonesia datang bersama-sama kita di sini untuk mendapat bimbingan atau idea tambahan daripada tokoh-tokoh. 

"Tidak kurang juga ada tokoh besar dalam bidang khat yang nama mereka cemerlang di peringkat antarabangsa. Misalnya Ustaz Abdul Baqi, beliau pernah mendapat tempat di peringkat antarabangsa di Dubai.

"Kemudian beberapa juga tokoh penggerak khat daripada Malaysia. Di Indonesia juga kita undang tokoh terbaik dunia dan ini semua tujuan kita adalah untuk membimbing anak-anak sejak dari sekolah menengah dan juga pencinta khat," ujarnya.

Namun kata beliau, yang paling membanggakan ialah penglibatan golongan muda yang ramai dalam pertandingan pantun spontan Bahasa Melayu.

"Pesertanya dari Malaysia ramai, dari Indonesia ramai, dari Brunei dan Thailand pun ada dan tahun depan kita akan tambah baik lagi.

"Tetapi yang baiknya pada tahun ini, ramai generasi muda dalam kalangan pelajar Tingkatan 6 yang mengambil bahagian dan ini sangat baik apatah lagi mereka terlibat dalam beberapa pertandingan termasuk pantun spontan.

"Ini bukan senang dan inilah yang akan kita asah, kita asuh mereka dengan bimbingan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka dan tokoh-tokoh sasterawan kita," dedah beliau.

Mahrajan merupakan satu platform yang penting untuk mempromosikan dan memperkaya khazanah budaya serta seni Islam, khususnya di  Sabah.

Penganjuran yang bermula dengan peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sejak lebih 10 tahun lalu, kini telah diambil alih oleh Kerajaan Negeri melalui  Jabatan Ketua Menteri Tugas-Tugas Khas, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Perbadanan Baitilmal Negeri Sabah (PBNS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama