Semangat Hijrah pacu perpaduan dan pembangunan ummah – Jahid

SIMBOLIK... Jahid (kanan) bersama-sama Suffian (kiri) menunjukkan logo Sambutan Maal Hijrah sejurus majlis perasmian.
TAMPARULI: Umat Islam diseru perkukuh perpaduan ke arah kecemerlangan ummah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Seri Panglima Jahid Jahim berkata, peristiwa hijrah Rasulullah SAW bukan sekadar satu perpindahan fizikal tetapi membawa makna besar dalam membentuk jati diri, pengorbanan, persaudaraan dan kemajuan dalam masyarakat.

"Hijrah mengajar kita untuk melakukan perubahan bukan hanya secara individu tetapi juga secara kolektif sebagai satu komuniti dan umat. Ia menjadi titik tolak transformasi yang perlu dipelopori oleh seluruh lapisan masyarakat," katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Kecil Tamparuli di Dewan Masjid Kampung Damat, Tamparuli, di sini, pada Ahad.

Katanya, usaha membina modal insan berakhlak dan berdaya saing khususnya dalam kalangan remaja dan belia perlu digiatkan kerana golongan itu merupakan aset terpenting negara.

"Ulama tersohor, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi menyatakan bahawa remaja lebih berharga daripada emas putih, emas kuning mahupun emas hitam. Maka menjadi amanah kita bersama untuk membentuk dan membimbing golongan ini ke arah kejayaan," tambahnya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Maal Hijrah kepada pelajar-pelajar cemerlang daerah Tamparuli sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik dan sahsiah mereka.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Masjid Kampung Damat yang kini telah dinaik taraf daripada surau kepada masjid hasil keprihatinan isteri Ketua Menteri, dan menyifatkannya sebagai satu pencapaian hasil keprihatinan pemimpin negeri dan sokongan masyarakat setempat.

"Saya ucapkan terima kasih kepada isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag atas keprihatinan beliau terhadap pembangunan institusi masjid dan masyarakat di daerah Tamparuli khususnya dan di negeri Sabah amnya," katanya.

Beliau juga menghargai sumbangan Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) yang sentiasa membantu dalam memperkasa aktiviti masjid dan program kemasyarakatan di negeri ini.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Pegawai Daerah Tuaran, Herman Tunggiging; Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad, dan Pegawai Tadbir Agama Daerah Kecil Tamparuli  merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana program, Suffian Kundu.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama