Nelayan warga Filipina didakwa edar lebih 3kg syabu, berdepan hukuman mati

Rizal didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar lebih 3kg syabu Jun lalu.
 

TAWAU : Seorang nelayan warga Filipina berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar lebih tiga kilogram dadah jenis syabu bulan lalu.

Tertuduh, Rizal Aral, 34, yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI), hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Rizal didakwa mengedar 3,085.64 gram methamphetamine (syabu) di kawasan simpang jalan Kampung Inderasabah kira-kira jam 3.30 petang pada 20 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, dan sebat tidak kurang daripada 12 kali jika tidak dikenakan hukuman mati.

Mahkamah menetapkan 5 Ogos depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu keputusan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Jeffrey Kadisun, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 25 Jun lalu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, pada sidang media memaklumkan bahawa suspek ditahan dalam satu serbuan berdasarkan maklumat risikan berkaitan kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, ketika tangkapan dibuat, suspek sempat mencampakkan sebuah beg kelabu bertulis "Onestop" yang mengandungi tiga pek teh jenama Guanyinwang berwarna hijau, disyaki berisi syabu.






Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama