Yang Dipertuanya, Datuk Nordin Ening berkata, lawatan kerja selama tiga hari ke negara Asia Tengah itu atas jemputan Dewan Usahawan Kota Almaty (Atameken) membuka banyak peluang kerjasama baharu.
Menurutnya, Kazakhstan kini menjadikan Asia Tenggara, khususnya Malaysia, sebagai destinasi pelancongan pilihan berikutan ketidaktentuan situasi di Eropah Timur dan Timur Tengah, selain penerbangan terus Almaty–Kuala Lumpur yang kini beroperasi empat kali seminggu.
“Pihak Kazakhstan berminat untuk membawa lebih ramai pelancong ke Sabah, terutama ke Kota Kinabalu dan Semporna, dan bersedia menawarkan pengalaman pelancongan musim sejuk sebagai pertukaran,” katanya.
Kazakhstan turut berminat memperluaskan kerjasama dalam sektor perbankan Islam, teknologi kewangan (fintech) dan pertukaran pelajar, selain mencari rakan strategik dalam pendidikan Bahasa Inggeris.
Selain itu, sektor pelancongan kesihatan Sabah juga berpotensi menarik pesakit dari Kazakhstan memandangkan Malaysia kini menjadi destinasi utama rakyat negara itu untuk rawatan perubatan berkualiti.
Nordin berkata, ACCI Sabah akan terus menjadi penghubung antara Sabah dan Kazakhstan, serta menggesa semua agensi dan pemain industri di negeri ini merebut peluang kerjasama tersebut secara strategik.