![]() |
Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU: Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Keenam Belas yang akan bermula Isnin depan, dijangka menjadi tumpuan ramai.
Menurut Speaker DUN Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya, ia berikutan keghairahan rakyat yang menganggap mesyuarat kedua itu sebagai persidangan terakhir sebelum pembubaran.
"Ikut perlembagaan, setahun sekurang-kurangnya mesti ada tiga persidangan. Mungkin yang menjadi keghairahan orang tentang persidangan kali ini, banyak yang mengandaikan atau merasakan ini adalah sidang yang akhir sebelum pembubaran. Itu yang dia punya hype sikitlah.
"Kalau dari segi persiapan, tidak ada istimewa. Persiapan semua seperti biasa, soalan-soalan pun seperti biasa. Ia hanya takwim untuk sidang yang kedua setiap tahun.
"Kalau bubar selepas ini, dia jadi sidang yang terakhir untuk penggal ini tetapi kalau belum bubar, kita mana tahu ada lagi sidang ketiga untuk memenuhi kehendak perlembagaan. Kebiasaannya sidang kedua ini adalah perbekalan tambahan," ujar beliau.
Dedah Kadzim, mesyuarat dua hari itu turut membahaskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) iaitu RUU Cukai Jualan Negeri (Pindaan) 2025 dan RUU Hutan (Penubuhan Hutan Simpan Pindaan) (Pindaan) 2025 dan RUU baharu, Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025.
"Kali ini selain daripada rang undang-undang perbekalan, kita juga ada tiga rang undang-undang yang lain. Satu mengenai perhutanan, iaitu pindaan. Satu lagi, SST juga pindaan dan satu lagi undang-undang baharu, RUU mengenai Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon.
"Ia bukan belanjawan khas, ia hanya perbekalan tambahan. Tambahan yang benda tidak terbajet dalam bajet lepas tapi sudah perlu dibelanjakan dan itu kita perlu luluskan untuk mendapatkan urusan dewan sebagai perbelanjaan tambahan," dedah beliau.
Sementara itu, mengulas mengenai persepsi segelintir masyarakat mengenai kesukaran menembusi premis tersebut, Kadzim menjelaskan, beberapa peraturan perlu dipatuhi para pemerhati
selaras dengan perisytiharan DUN Sabah sebagai kawasan larangan dan tempat larangan menerusi warta berkuatkuasa pada 2 September 2024.
"Bukannya kita larang, bukannya kita halang orang daripada datang tapi kita tidak mahu DUN ini menjadi macam satu acara di SICC semua orang berpusu-pusu memandangkan Kawasan DUN ini sudah pun diwartakan sebagai tempat dan kawasan keselamatan.
"Jadi, ada had-had yang harus dipatuhi dalam membenarkan orang ramai berada di sekitar Dewan ini. Jadi kalau ada orang cakap susah sekarang masuk mengikuti sidang dewan itu tidak juga betul.
"Banyak juga Ahli-Ahli Yang Berhormat bila ada orang-orang dari kawasan mahu mengikuti sidang Dewan kita benarkan. Tapi tidaklah sehari penuh atau hari-hari datang. Bila wakil rakyatnya mahu berucap dia mahu datang mengikuti secara langsung kita benarkan," tegasnya.
Tambah beliau, peraturan masuk ke DUN Sabah dan Parlimen juga tidak mempunyai perbezaan kerana premis yang telah diwartakan sebagai kawasan dan tempat larangan semestinya mengutamakan langkah-langkah keselamatan.
"SOP, peraturan pada asasnya sama, cuma Parlimen tu besar. Di sana lagi susah masuk semua pintu guna akses yang dikawal ketat. Kalau setakat ruang legar itu boleh orang masuk tapi dalam dewan bukannya semua orang boleh masuk sewenang-wenang.
"Ruang dewan tempat berbahas, berucap, bila terlalu ramai orang di dalam bercerita dan ia hanya akan mengganggu. Ada yang tidak tahu tertib dewan seperti tidak boleh tepuk tangan. Amalan tepuk meja lebih kepada appreciation sebab ini convention dan ia dibezakan dengan acara-acara konsert, acara-acara perasmian, ia di korum sendiri.
"Macam di mahkamah pun tidak boleh tepuk tangan. Kenapa orang tidak bising mahkamah pun susah masuk," katanya sambil berseloroh.
Beliau yang diiringi Setiausaha DUN Sabah Rafidah Maqbool Rahman ditemui media dalam sesi temu bual khas sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DUN Sabah Yang Keenam Belas di pejabatnya, pada Khamis.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)