
KOTA KINABALU: Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Sabah, Mazlan Joe Manan, tampil membuat laporan polis berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dan hasutan jahat terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Laporan itu dibuat susulan kenyataan yang disampaikan oleh ahli perniagaan, Albert Tei menerusi satu sidang media di perkarangan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam.
Mazlan berkata, kenyataan Albert bukan sahaja bersifat palsu, tetapi turut memperlekeh dan menghina institusi Ketua Menteri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), serta Jabatan Peguam Negara.
“Laporan polis ini dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan undang-undang diambil ke atas kenyataan yang bersifat jahat, berunsur fitnah dan penghinaan terhadap Ketua Menteri serta agensi penguat kuasa negara.
“Kenyataan Albert juga dilihat sebagai cubaan membina persepsi negatif dalam kalangan rakyat, terutama ketika kes membabitkan dirinya dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain sedang dibicarakan di mahkamah,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurutnya, tindakan Albert mengeluarkan kenyataan terbuka itu turut disifatkan sebagai menghina mahkamah atau subjudis, kerana cuba mempengaruhi persepsi awam terhadap kes yang masih dalam perbicaraan.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya menghormati proses mahkamah dan bukannya mengambil kesempatan untuk menyebarkan naratif yang boleh mengganggu perjalanan keadilan,” tegasnya.
Katanya, tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan tidak ada individu yang sewenang-wenangnya menjadikan institusi kerajaan sebagai sasaran fitnah demi kepentingan peribadi.
“Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlarutan. Institusi Ketua Menteri, SPRM dan Jabatan Peguam Negara perlu dihormati,” katanya.