Masalah bekalan air babit hotel lima bintang, pusat membeli belah di Kota Kinabalu hampir pulih

PUTATAN: Masalah gangguan bekalan air membabitkan premis hotel bertaraf lima bintang dan pusat membeli belah di sekitar bandaraya Kota Kinabalu, baru-baru ini telah hampir pulih.

Menteri Kerja Raya merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata telah menerima aduan terutamanya daripada pengusaha hotel yang terjejas berkaitan perkara terbabit sejak dua minggu lepas.

"Saya difahamkan oleh pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) disebabkan oleh permintaan yang tinggi dan juga ada beberapa kerosakan teknikal telah berlaku, maka proses pemulihan mengambil sedikit masa untuk mereka dipulihkan. 

"Namun demikian pada sehari dua ini, ia telah menunjukkan satu peningkatan pemulihan yang positif. Pada pagi tadi juga saya ada terima jadual tekanan air di hotel-hotel yang ada di sekitar Kota Kinabalu dan mereka memberitahu bahawa tekanan air beransur pulih.

"Ini mungkin disebabkan apabila penyambungan paip bagi Telibong 2 Fasa 2 sudah siap pada dua hari yang lalu dan mereka telah memulakan kerja-kerja 'flushing', 'testing' dan 'commissioning' pada hari Rabu. 

"Pada Rabu petang dan petang semalam, sebahagian air telah dapat ditolak ke kawasan Inanam. Jadi ini menunjukkan akan ada peningkatan bekalan air terawat di kawasan Kota Kinabalu dan juga Putatan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu antara hotel bertaraf lima bintang yang terjejas baru-baru ini adalah Hotel Promenade, Hotel Le Meridien dan Hotel Marriot dimana hotel terbabit mengalami tekanan air rendah susulan lokasinya yang berada di penghujung agihan air.

"Tapi kita masih memantau dan juga kita membuat pelan kontingensi dan pelan jangka masa pendek.

"Kita sediakan lori-lori tangki air untuk menghantar air sekiranya tekanan air di tempat mereka jatuh lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program serahan Sumbangan Pelajar Cemerlang STPM 2024 Sekolah-Sekolah dalam Parlimen Putatan bertempat di Hotel Pan Borneo, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu bekalan air membabitkan pusat membeli belah seperti Suria Sabah dan Wisma Merdeka, Shahelmey turut memaklumkan masalah terbabit juga hampir pulih.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama