![]() |
Joniston (dua dari kiri), ketika menyampaikan sijil lantikan kepada Duta Muzium Sabah, Atitih Yatih. |
KOTA KINABALU: Pemenang Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri 2025, Atitih Yatih Robert dilantik sebagai Duta Muzium Sabah bersempena Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Intan Muzium Sabah yang diraikan hari ini.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pelantikan duta ini bertujuan melibatkan tokoh budaya, penggiat seni dan pempengaruh dalam mempromosikan nilai sejarah secara kreatif.
“Duta ini akan menjadi jurucakap budaya, menjalankan program kesedaran dan mempromosikan nilai sejarah kepada komuniti masing-masing, sama ada secara fizikal atau melalui platform media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bagi mewakili Datuk Seri Panglima Christina Liew pada Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Intan Ke-60 Tahun bertempat di Kampung Warisan Fasa II, Kompleks Muzium Sabah di sini, hari ini.
Menurut beliau, tempoh pelantikan duta tersebut adalah selama satu tahun sebagai satu strategik untuk memperluaskan penyampaian mesej berkaitan pemeliharaan warisan khususnya kepada generasi muda dan komuniti digital.
“Saya ucapkan tahniah kepada Duta Muzium Sabah yang dilantik, anda kini sebahagian daripada penjaga warisan generasi masa hadapan,” jelasnya.
Antara pengisian aktiviti dalam program terbabit merangkumi karnival sukan rakyat serta pengenalan teknologi baharu seperti Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR) bagi membolehkan orang awam menikmati suasana rumah tradisional Sabah dalam bentuk interaktif digital.