Jangan jadikan isu Ambalat modal politik - Bung Moktar

 

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan kepada semua pihak agar tidak menjadikan isu Ambalat sebagai modal politik.

Katanya, walaupun Pilihan Raya Negeri (PRN) hampir menjelang tiba namun beliau berharap agar semua pihak berkaitan untuk tidak mempolitikkan isu kedaulatan Sabah. 

"Isu yang melibatkan kepentingan negeri dan negara harus diangkat dengan penuh tanggungjawab dan tidak dijadikan modal untuk meraih sokongan politik jangka pendek.

"UMNO Sabah akan memastikan suara negeri ini dibawa secara formal dan konstruktif, termasuk melalui Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) agar kepentingan rakyat Sabah selaku jiran terdekat kawasan Ambalat terus terpelihara.

"Sebagai Ketua UMNO Sabah, saya ingin menegaskan bahawa isu Ambalat tidak wajar dijadikan bahan politik berlebihan sehingga menimbulkan kekeliruan rakyat. 

"Kita juga harus mengelak daripada mengheret isu sempadan maritim ini ke gelanggang sentimen politik tempatan, kerana ia hanya akan membuka ruang polemik tanpa menyumbang kepada penyelesaian sebenar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, Bung Moktar turut berkata bahawa negeri ini berhak untuk dilibatkan dalam sebarang rundingan bersama yang melibatkan kawasan pertikaian Ambalat. 

Susulan itu, pendekatan diplomasi disifatkan pihaknya adalah jalan paling rasional dalam menangani pertindihan tuntutan maritim di kawasan terbabit.

"Saya ingin menegaskan kepada pihak kerajaan Persekutuan bahawa Rundingan Tahunan Malaysia–Indonesia di Jakarta pada 29 Julai ini seharusnya membuka ruang dan peluang kepada kerajaan negeri Sabah untuk turut serta dalam rundingan strategik tersebut. 

"Ini penting agar suara dan kepentingan Sabah diiktiraf secara sah dan jelas dalam apa-apa keputusan dasar berkaitan pembangunan bersama kawasan Ambalat.

"Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar kekal rasional, kita mesti bersatu mempertahankan kedaulatan negara, sambil memastikan rakyat Sabah terus memperoleh manfaat wajar daripada sebarang hasil rundingan Ambalat," katanya.

Dalam perkembangan lain, media sebelum ini melaporkan isu Ambalat iaitu sebuah blok lautan di Laut Sulawesi yang berdepan pertikaian wilayah sempadan maritim antara dua negara antara dijangka dibincangkan pada Rundingan Tahunan Malaysia dan Indonesia yang berlangsung di Jakarta hujung bulan ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasinya akan ke Jakarta pada 29 Julai ini bagi menghadiri program terbabit yang kali terakhir diadakan pada 2017.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama