![]() |
Suspek lelaki tempatan ditahan bersama ganja dalam satu serbuan di Batu 8, Ranggu, di sini, malam kelmarin. Foto | Ihsan PDRM |
TAWAU : Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang disyaki memiliki dadah jenis ganja seberat 204.91 gram dengan anggaran nilai pasaran sebanyak RM4,500 dalam satu serbuan di Batu 8, Ranggu, di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira pukul 9 malam hasil maklumat risikan.
"Suspek dikesan berada dalam keadaan mencurigakan ketika menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda di hadapan sebuah premis, sebelum ditahan selepas pemerhatian selama kira-kira 15 minit.
"Susulan pemeriksaan, suspek mengaku memiliki dadah jenis ganja dan menyerahkan satu plastik putih bertulis MR DIY kepada polis," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, pemeriksaan lanjut ke atas plastik tersebut menemui satu kotak putih mengandungi alat penimbang digital serta tiga bekas plastik lut sinar berisi 24 paket kecil tumbuhan mampat disyaki ganja.
Selain itu katanya, pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Vivo Y20, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota berwarna merah serta satu unit kunci kenderaan.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC), iaitu bahan aktif dalam ganja.
"Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 9 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk usaha mengesan rangkaian pengedaran dadah yang mungkin terlibat dalam kes ini.