Ahli PBS diseru perkukuh parti, fokus pertahan kerusi


KOTA MARUDU: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam menyeru semua ahli parti agar bekerja lebih gigih dan mengukuhkan kerjasama demi mempertahankan kerusi-kerusi PBS, termasuk di kawasan Tandek.

Beliau turut meminta sokongan padu daripada rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan kemenangan calon PBS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Saya ingin tegaskan, kita mahu membantu orang kita sendiri. Sebagai anak jati Sabah, yang penting ialah kita memperkasakan parti tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Tandek di Dewan Terbuka Pekan Tandek, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Christoper Mandut.

Dalam pada itu, beliau turut berkata kerjasama dengan parti dari Semenanjung adalah penting, tetapi keutamaan harus diberikan kepada kestabilan dan kepimpinan politik di peringkat negeri terlebih dahulu.

Menurutnya, kerjasama itu wujud hanya apabila parti tempatan (GRS) yang mengemudikan politik negeri ini. 

“Sabah adalah tanah tumpah darah kita. Kita lebih memahami dan mampu menyelesaikan masalah secara lebih inklusif dan menyeluruh di negeri ini,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan semua ahli PBS bahawa mereka adalah tulang belakang parti dan menyeru agar seluruh jentera bangkit memperjuangkan aspirasi PBS di seluruh Sabah.

“Kita perlu bekerja keras demi parti dan saling menyokong antara satu sama lain untuk mencapai kejayaan,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama