Lelaki kantoi seludup 17,000 liter diesel subsidi

 

TAWAU: Tindakan licik seorang lelaki menyeludup diesel bersubsidi menggunakan lori tangki tumpas apabila dia dicekup Pasukan Polis Marin (PPM) di Felda Umas, malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 10.40 malam itu, pasukan operasi yang bertindak atas maklumat awam berjaya menahan lori tangki terbabit yang disyaki digunakan untuk menyeludup bahan api subsidi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa kira-kira 17,000 liter diesel yang disimpan dalam tangki khas tanpa sebarang dokumen sah.

“Pemandu lori, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun, turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Keseluruhan nilai rampasan termasuk diesel dan lori tangki dianggarkan berjumlah RM296,550,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki dan mengangkut barang kawalan tanpa permit sah.

Nazri berkata, kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi bukan saja menjejaskan ekonomi negara, malah turut mengganggu kestabilan pasaran tempatan.

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat usaha membanteras jenayah rentas sempadan termasuk penyelewengan barang kawalan.

“Kami juga menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama