Empat rumah musnah dalam kebakaran di Tawau

Kebakaran memusnahkan empat buah rumah di Kampung Sri Menanti Blok C, dekat sini, petang semalam. Foto | Ihsan Bomba.

TAWAU : Sekurang-kurangnya 20 ahli keluarga keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila empat buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Sri Menanti Blok C, dekat sini, semalam

Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, kebakaran dipercayai bermula dari salah sebuah rumah sebelum merebak dengan pantas ke tiga rumah lain yang kesemuanya merupakan struktur tidak kekal dan dibina rapat antara satu sama lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 sebelum sepasukan anggota dari  bersama bantuan Bomba Komuniti Titingan digegaskan ke lokasi.

“Dua jentera FRT dan satu unit EMRS dengan kekuatan 18 anggota BBP Tawau serta enam anggota Bomba Komuniti dikejarkan ke lokasi sejauh 10 kilometer dan tiba 11 minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, kebakaran didapati melibatkan empat buah rumah yang semuanya terbakar sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pasukan operasi berjaya mengawal kebakaran pada jam 5.46 petang dengan menggunakan sumber air terbuka.

“Tiada mangsa dilaporkan cedera atau terperangkap dalam kejadian itu dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.45 malam,” katanya.

Tambahnya lagi, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama