KPDN catat 3,229 peniaga berdaftar dalam ReDI setakat Mei tahun ini

PAPAR: Seramai 3,229 orang peniaga yang berdaftar dalam Pendigitalan Sektor Peruncitan atau Retail Digitalisation Initiative (ReDI) telah direkodkan setakat Mei lepas bagi tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata jumlah terbabit merupakan sebahagian daripada keseluruhan 22,368 peniaga yang berjaya didaftarkan sejak program ini dilancarkan pada 27 Ogos 2022.

"Jumlah ini adalah melebihi sasaran 100 peratus iaitu 15,000 peniaga berdaftar menjelang tahun 2025 seperti yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Bermula 1 Januari sehingga 31 Mei lepas, jumlah peniaga berdaftar ReDI merekodkan jumlah keseluruhan seramai 3,229 peniaga di seluruh negara. 

"Daripada jumlah ini, jumlah peniaga berdaftar bagi negeri Sabah adalah 1,120 dan 1,799 bagi negeri Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengunjungi salah seorang penerima sumbangan rumah Sabah Maju Jaya (SMJ), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Armizan juga berkata KPDN komited untuk memperluaskan lagi kaedah perniagaan berasaskan digital khususnya penggunaan e-wallet di kalangan peniaga terutamanya di kawasan luar bandar.

"Bagi menyokong usaha ini, KPDN telah menganjurkan Kembara ReDI Borneo 2025. Program Kembara selama 10 hari ini telah bermula pada 26 Jun lepas dengan lokasi pertama di Sematan, Sarawak dan dijadualkan akan berakhir pada 5 Julai di Tawau, Sabah sebagai lokasi terakhir. 

"Penganjuran program Kembara ReDI Borneo 2025 ini merupakan satu langkah proaktif KPDN dalam usaha memberi pendedahan kepada peniaga luar bandar berhubung pengoperasian perniagaan berkonsepkan digital.

"Fokus utama adalah penggunaan kemudahan e-wallet dalam urusan transaksi pembelian dan mewujudkan ekosistem masyarakat tanpa tunai di seluruh negara khususnya kawasan luar bandar.

"Inisiatif ReDI ini menawarkan pengurusan kewangan efisien, peluang  perkembangan perniagaan, kepelbagaian pilihan pembayaran dan juga pengurusan inventori lebih berkesan yang boleh dimanfaatkan oleh peniaga," katanya.

Beliau turut memberitahu, setakat lima hari Kembara ReDI Borneo 2025 ini dilaksanakan, jumlah peniaga berdaftar bagi negeri Sabah dan Sarawak adalah seramai 3,708 orang.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama