GRS tidak pernah buat komen terbuka kes rasuah pemimpin parti lain, Mustapha diberitahu

 

PAPAR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan tidak pernah membuat komen secara terbuka berkaitan kes rasuah melibatkan pemimpin parti lain.

Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata perkara berkaitan isu dan tuduhan rasuah bukan satu perkara baharu yang terjadi di kalangan pemimpin politik.

"Kalau sebut pasal isu dan tuduhan rasuah, banyak pemimpin daripada pelbagai parti yang terseret dengan tuduhan. Ada kalangan parti pembangkang, ada juga pemimpin dalam parti Kerajaan Perpaduan sendiri yang terheret dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

"Ada yang sudah dibicarakan dan didapati tidak bersalah, ada yang telah dijatuhi hukuman, ada yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) ada yang sedang dalam perbicaraan bertahun-tahun lamanya, perbicaraan kerap bertangguh pun ada.

"Dari segi 'money trail' (jejak wang) rasuah yang didakwa pula, ada yang masuk akaun sendiri, ada yang masuk akaun isteri, syarikat proksi dan ada juga yang dalam bentuk manfaat lain seperti aset tertentu.

"Walau bagaimanapun, pemimpin GRS tidak pernah membuat komen terbuka dan secara rasmi berhubung mana-mana pemimpin parti lain dan kes-kes mereka," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai sebagai maklum kenyataan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud yang menyifatkan isu skandal rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral membabitkan beberapa pemimpin mampu mengubah landskap politik Sabah secara signifikan, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Armizan menjelaskan sejak isu terbabit dibangkitkan, pihaknya telah berlapang dada dalam menyerahkan isu terbabit kepada pihak berkuasa untuk dikendalikan.

"Inilah sikap dan pendirian kami sebagaimana yang dijelaskan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

"Saya tidak berhajat untuk meminta mana-mana pihak berlaku adil kepada GRS, tetapi jangan pula kita memilih untuk memejam sebelah mata dan tidak melihat realiti di depan kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat salah seorang penerima sumbangan Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya tetap menghormati proses undang-undang yang dijalanlan meskipun berdepan pelbagai tuduhan dari pelbagai pihak termasuk pemimpin politik lain.

"Walau kadang kita seolah-olah ditolak ke dinding, kita tidak melatah untuk membuat perbandingan dan memilih untuk membiarkan proses undang-undang berjalan. 

"Ini kerana kita percaya dan hormat kepada proses udang-undang, sama ada siasatan pihak berkuasa mahupun sistem keadilan negara melalui mahkamah. Seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah," katanya.

Di samping itu, beliau turut menyifatkan pertuduhan rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral yang berlangsung semalam di mahkamah adalah menarik.

"Amat menarik dan mengejutkan, orang yang sebelum ini berbicara secara terbuka di luar mengguna pakai bentuk media bahawa beliau memberi imbuhan berbentuk rasuah kepada ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), akhirnya tidak mengaku bersalah apabila pertudunan disebut di mahkamah. 

"Tidak mengaku bersalah di mahkamah bermakna beliau tidak memberi rasuah.

Saya berharap kita tidak membuat kesimpulan awal bersandarkan persepsi, sentimen mahupun laporan media sebelah pihak. 

"Jangan kita terikut-ikut memutuskan seseorang adalah penjenayah rasuah sebelum berakhirnya proses siasatan dan keadilan di mahkamah. Ini kerana persepsi tidak semestinya satu realiti, dan kita ada proses dan sistem perundangan," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama