LAHAD DATU: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang kelewatan dalam pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo, khususnya bagi Pakej 1B yang baharu dimulakan hujung tahun lalu.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata arahan itu dibuat susulan kelewatan ketara yang berlaku dalam pelaksanaan Pakej 1A.
Katanya, ia termasuk tindakan kontraktor terdahulu yang didakwa mengambil mudah dengan memohon lanjutan masa (EOT) sehingga empat hingga lima kali.
“Saya sudah menerima taklimat lengkap mengenai perkembangan Pakej 1A dan 1B dan saya ingin tegaskan, tiada lagi EOT akan diberikan kepada mana-mana kontraktor, tidak kira apa alasan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke lokasi pembinaan Pan Borneo di sini, hari ini.
Ahmad berkata, kelonggaran yang pernah diberikan sebelum ini membuka ruang kepada kontraktor lain untuk menuntut layanan sama, sekali gus memberi kesan langsung kepada jadual keseluruhan projek yang akhirnya merugikan rakyat.
“Lihat apa yang berlaku pada Pakej 1A ada yang tertangguh dua hingga tiga tahun, malah lebih lama. Rakyat yang menanggung akibatnya apabila jalan tidak siap dan tidak disenggara dengan baik.
“Pakej 1A membabitkan 15 Work Package (WP), manakala Pakej 1B terdiri daripada 19 WP yang baharu dianugerahkan pada penghujung tahun lalu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menggesa semua kontraktor yang terbabit dalam Pakej 1B agar menyiapkan projek lebih awal daripada jadual ditetapkan sebagai langkah menambah nilai dan meningkatkan kecekapan.
“Jika projek siap lebih awal atau ahead of time (AOT), ia memberi keuntungan kepada semua pihak kontraktor, kerajaan dan rakyat.
“Jika kos operasi sebulan RM300,000 dan projek siap tiga bulan lebih awal, syarikat sudah jimat RM900,000,” katanya.
Dalam masa sama, Ahmad mengingatkan bahawa tanggungjawab menyelenggara jalan sepanjang tempoh pelaksanaan projek adalah di bawah kontraktor utama Pan Borneo, bukannya di bawah syarikat konsesi penyelenggaraan jalan Persekutuan.
“Kerosakan jalan akibat kegagalan penyelenggaraan menyukarkan rakyat untuk tempoh yang panjang. Kita tidak mahu kelewatan terus membebankan pengguna jalan raya,” katanya.
Tambahnya, Kementerian Kerja Raya di bawah kepimpinan beliau dan Menteri, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, tidak akan berkompromi terhadap sebarang alasan remeh yang dikemukakan untuk memohon EOT.
“Saya beri peringatan awal, jangan beri alasan itu dan ini. Kita mahu prestasi, kita mahu integriti. Bukan alasan untuk tangguh projek,” tegasnya.