![]() |
SUASANA....Suasana ketika kunjungan hormat TM Sabah di Pejabat Jabatan Penerangan Sabah. |
KOTA KINABALU: Kempen Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) akan dijadikan platform untuk Telekom Malaysia Berhad (TM) Sabah memperkukuh pendigitalan masyarakat luar bandar.
Pengurus Besar Perniagaan TM Sabah, Sahrimin Mohd Iman berkata menerusi kolaborasi bersama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sabah, pelbagai inisiatif dirancang bagi memperkenalkan kempen terkini sepanjang KMJG 2025 berkaitan telekomunikasi, perkhidmatan digital dan menaik taraf infrastruktur termasuk perkhidmatan Unifi kepada masyarakat setempat.
“Kita akan laksanakan kolaborasi ini bersama dengan JaPen untuk mengeratkan silaturahim dengan masyarakat dan pada masa sama kita harap dapat menguar-uarkan kempen atau perkhidmatan terbaru TM yang dapat meningkatkan tahap celik digital komuniti.
"Aktiviti sepanjang kempen termasuk jualan promosi, pertandingan e-sukan, promosi naik taraf perkhidmatan Unifi yang bukan sahaja menawarkan kemudahan internet malah disertai nilai tambah seperti pembelian peranti elektronik seperti televisyen, komputer riba, iPad atau telefon mudah alih," katanya ketika ditemui selepas kunjungan hormat kepada Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, pada Selasa.
Mengulas tentang sasaran kempen TM di Sabah, beliau menjelaskan penduduk luar bandar menjadi tumpuan utama memandangkan liputan infrastruktur dan capaian internet kini semakin meluas di kawasan tersebut.
“Kita harap melalui KMJG ini, masyarakat luar bandar akan lebih tahu bahawa Unifi kini boleh dilanggan dan secara tidak langsung dapat membantu sektor pendidikan, perusahaan kecil dan sederhana melalui penyelesaian digital yang ditawarkan,” ujarnya.
Jelasnya lagi, usaha ini mampu merangsang pertumbuhan ekonomi digital di luar bandar seiring dengan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh jaringan komunikasi dan keterhubungan seluruh rakyat.
Hadir sama, Penolong Pengurus Besar unifi Consumer TM Sabah Dhikra Jabir, Penolong Pengurus Besar TM Global TM Sabah Lydia Lisa Edward dan Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)