![]() |
Timothy (dua dari kiri) ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU: Program Sepeda Amal Borneo 2025 anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) akan bermula pada 27 Julai hingga 1 Ogos ini.
Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia Bahagian Doktor Kerajaan, Dr. Timothy Cheng berkata program bertujuan untuk mengumpul dana bagi membina Rumah Jagaan Paliatif Kanak-kanak di Kota Kinabalu.
"Dalam program ini, seramai 17 peserta daripada pelbagai negara antaranya Malaysia, Singapura, Amerika Syarikat dan Macau akan berbasikal sejauh kira-kira 600 kilometer dengan ketinggian 8,000 meter bermula di Sandakan pada 27 Julai dan berakhir di Kota Kinabalu pada 1 Ogos.
"Selepas itu, satu program makan malam amal akan diadakan bertujuan untuk mengumpul dana bagi pembinaan Rumah Jagaan Paliatif Kanak-kanak di Kota Kinabalu dan MMA mensasarkan pungutan dana sebanyak RM500 ribu melalui program ini.
"Program ini sangat penting kerana selain mengumpul dana, kami juga ingin membawa kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan penjagaan paliatif kanak-kanak kerana ianya sangat berbeza dengan penjagaan paliatif orang dewasa," katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Timothy berharap agar orang awam dapat menyokong program berkenaan bagi merealisasikan pembinaan rumah jagaan berkenaan.
"Setakat ini, perkhidmatan sudah disediakan seperti lawatan rumah ke rumah untuk mengajar ibu bapa berkenaan cara penjagaan paliatif kanak-kanak tetapi kami amat berharap agar cadangan pembinaan bangunan rumah jagaan ini dapat direalisasikan," ujarnya.
Tambah beliau, setakat ini MMA mempunyai lebih kurang 20,000 ahli termasuk pengamal perubatan swasta.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)