Kerjasama BN-PH hadapi PRN Sabah sudah ‘dikunci’ - Ahmad Zahid

 

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) memuktamadkan kerjasama rasmi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perjanjian itu kini dikunci secara rasmi, sekali gus menegaskan kedua-dua gabungan itu akan bertindak sebagai rakan kongsi utama dalam menghadapi PRN Sabah.

“Kita telah muktamadkan kolaborasi kita bersama PH, ertinya BN dan PH itu telah dikunci sebagai rakan kongsi dalam PRN Sabah.

“Walaupun PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga telah mencapai kesepakatan bersama, kerjasama BN dan PH tetap menjadi pakatan rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat persiapan Mega Karnival 3 Dimensi di ibu negara, hari ini.

Mengulas lanjut, Presiden UMNO itu berkata, BN dan PH masih bersikap terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan lain di Sabah, demi memastikan kestabilan politik di negeri itu.

“Kita akan terus buka pintu kerjasama BN-PH dengan parti-parti lain atau gabungan lain untuk negeri Sabah,” katanya.

Ahmad Zahid turut menegaskan, BN dan PH komited untuk memastikan proses demokrasi pada PRN Sabah berjalan dengan lancar, telus dan harmoni menerusi semangat muafakat antara parti.

Sebelum ini, Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengesahkan bahawa GRS dan PH telah memuktamadkan kerjasama mereka menjelang PRN Sabah, hasil kesepakatan bersama antara komponen dalam gabungan itu.

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh turut mengesahkan rundingan pembahagian kerusi antara BN dan PH telah dimuktamadkan, namun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai agihan kerusi bagi setiap gabungan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama