KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Ketua Badan Perhubungan BERSATU Sabah, Aksyah Nasrah mengesahkan kenyataan oleh Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkenaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kurang menyenangi idea 'Blok Borneo', ketika membacakan ucapan penggulungan pada Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), baru-baru ini adalah benar.
Menurutnya, susulan kejayaan pembentukan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada tahun 2018 dan langkah itu disusuli dengan hasrat Hajiji untuk menubuhkan GRS menjadi satu perkembangan yang tidak disukai oleh 'master' politik dari Semenanjung Malaysia.
"Justeru itu, sememangnya idea Hajiji Noor untuk menubuhkan GRS mendapat reaksi kurang senang dari Tan Sri Muhyiddin. 'Master' politik PN ketika itu melihat, sekiranya GRS ditubuhkan, maka akan wujud satu lagi jajaran politik yang menguatkan kuasa politik orang-orang Borneo.
"Namun terdapat peluang lain dengan perkembangan ini. Iaitu, adanya peluang BERSATU dan PN meluaskan sayapnya di Borneo ketika itu. Walau bagaimanapun, sebagaimana sejarah politik Sabah sebelum ini, jika parti itu bertembuni di Semenanjung, maka banyak perkara perlu mendapatkan restu dari Master terlebih dahulu. Situasi ini ibarat 'keluar mulut buaya, masuk ke mulut harimau'.
"Dengan situasi demikian, apalah gunanya kuasa sebagai pemimpin rakyat Sabah jika leher masih dikawal oleh orang lain? Rendahkah nilai pemimpin Sabah?" katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Mengulas lanjut, Aksyah berkata Muhyiddin yang juga merupakan Presiden BERSATU itu pernah berkata bahawa beliau telah mengangkat Hajiji dari seorang individu biasa yang tidak mempunyai apa-apa sehingga kemudian dimahsyurkan sebagai seorang Ketua Menteri.
Walau bagaimanapun, kenyataan terbabit menurutnya adalah bercanggah dengan latar belakang Hajiji yang merupakan ahli politik dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman.
"Pernahkah kita terfikir, apakah BERSATU/PN pernah melakar sejarah sebagai parti pemerintah di Sabah sekiranya DSP Hajiji tidak membawa bersama beliau “kuasa” yang amat ditagih oleh pemimpin politik Semenanjung ketika itu? Pilihanraya Negeri Ke-16 (PRN16) menjadi bukti nyata, Hajiji mampu memberikan kemenangan kepada PN. Namun, beliau melihat rakyat Sabah sudah punya selera baharu dalam politik dan kekuasaan.
"Rakyat Sabah mahu bebas dari cengkaman politik luar. Untuk memenuhi impian itu, Sabah perlu dipimpin oleh parti tempatan sebagai tonggak utama pemerintahan.
“Dengan perkembangan inilah, Hajiji menggabungkan pemimpin dari pelbagai parti untuk menubuhkan GRS. Tahun 2022, penubuhan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri adalah momen terbaik untuk melaksanakan agenda ini. Langkah dan tekad berani amat diperlukan ketika ini.
"Sokongan dan dokongan PM dan PH Plus kepada Hajiji dan GRS telah membuahkan hasil yang baik. Banyak kejayaan dicipta menerusi kerjasama politik ini berbanding kerjasama bersama BN sebelumnya. Kita boleh rasakan layanan istimewa PM terhadap GRS sebagai tonggak utama pemerintahan di Sabah.
“Paling penting adalah pengiktirafan dan penghormatan terhadap kedudukan GRS sebagai parti pemerintah di Sabah," katanya.