![]() |
Gambar hiasan. |
LAHAD DATU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 26 tahun dan lima sebatan ke atas seorang guru mengaji selepas dia mengaku bersalah merogol seorang kanak-kanak perempuan dibawah umur dalam dua kejadian berasingan pada Ogos tahun lalu.
Tertuduh, Basry Asang, 49, membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Suhailla Selaq atas dua pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berumur 11 tahun 11 bulan (ketika kejadian) di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Segama, antara jam 1 tengah hari hingga 3 petang pada 18 Ogos 2024, sebelum mengulangi perbuatan sama keesokan harinya di lokasi dan waktu sama.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan pertama serta penjara untuk tempoh yang sama dan tiga sebatan bagi pertuduhan kedua, dengan perintah hukuman berjalan secara berasingan iaitu pada tarikh tertuduh ditangkap 20 Ogos 2024.
Tertuduh turut diperintah menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis dua tahun selepas dibebaskan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.