![]() |
Hajiji (tengah) menyampaikan hadiah kepada para pemenang anugerah. |
TUARAN: Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM11.6 juta kepada Yayasan Usaha Maju (YUM) tahun ini.
Peruntukan tersebut adalah bertujuan bagi meneruskan Program Kredit Mikro di bawah YUM untuk memperkasakan usahawan tempatan, khususnya golongan wanita berpendapatan rendah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri komited membantu YUM melaksanakan peranannya dengan menyediakan dana yang mencukupi bagi membolehkan agensi itu terus beroperasi dan menawarkan perkhidmatan pinjaman kepada ahlinya.
"Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, YUM turut menerima peruntukan geran sebanyak RM10 juta bagi modal pusingan pinjaman, selain geran perbekalan tahunan daripada kerajaan untuk menampung sebahagian kos operasi program pinjamannya.
“Kejayaan peminjam dalam memanfaatkan pinjaman YUM dengan baik bukan sahaja dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka, malah membolehkan agensi ini meluaskan usaha membantu lebih ramai rakyat meningkatkan taraf hidup kerana mempunyai modal pusingan pinjaman yang mencukupi.
"Sementara itu, hampir 20 peratus daripada peminjam YUM yang sebelum ini berada di bawah paras garis kemiskinan telah berjaya memperoleh pendapatan bulanan melepasi garis tersebut.
“Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan dan membuktikan bahawa program pinjaman YUM mampu meningkatkan pendapatan serta membantu rakyat keluar daripada kemiskinan,” katanya semasa berucap merasmikan Hari Keluarga YUM Tuaran di Dewan Sri Sulaman pada sabtu.
Ketua Menteri turut menasihatkan ahli YUM agar terus meningkatkan kemahiran seiring kemajuan teknologi dalam meluaskan perniagaan mereka.
“Dalam masa yang sama, ahli-ahli YUM juga hendaklah sentiasa meningkatkan kemahiran perniagaan mereka dengan menyertai bengkel, kursus dan latihan yang disediakan termasuk oleh agensi lain, berinovasi dan menggunakan teknologi terkini serta meluaskan pasaran perniagaan masing-masing,” katanya.
YUM merupakan sebuah badan amanah negeri di bawah Kementerian Kewangan Negeri yang menyediakan perkhidmatan kredit mikro bagi membantu isi rumah termiskin keluar daripada kemiskinan melalui modal pinjaman untuk menjalankan aktiviti menjana pendapatan.
“Sejak penubuhannya pada tahun 1995, Yayasan Usaha Maju telah menjadi salah satu agensi paling penting dalam memperkasakan ekonomi rakyat di peringkat akar umbi, khususnya dalam komuniti luar bandar dan pedalaman,” kata beliau lagi.
Hajiji turut sempat menyampaikan hadiah kepada ahli YUM yang menerima anugerah di atas pencapaian dan sumbangan mereka kepada yayasan tersebut.
Turut hadir dalam majlis tersebut Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Panglima Jahid Jahim, Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Bhd Datuk Jasnih Daya, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Datuk Mohd Sofian Alfian Nair, dan Pengarah Urusan YUM Roseli Sindong.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)